Masihkah kita
ingat tentang tragedi hitam yang pernah dilakukan
ke atas Masjid Al-Aqsa suatu ketika dahulu? Ya. Tarikh 21 Ogos adalah tarikh
keramat buat umat islam seluruh dunia kerana ia adalah peristiwa pencabulan ke
atas masjid Al-Aqsa. Genap 44 tahun peristiwa ini berlaku. Ia bagaikan suatu
penghinaan kepada umat Islam oleh Zionis Israel yang sudah bertahun-tahun
lamanya menyimpan dendam terhadap umat Islam. Tragedi ini berlaku seusai umat
Islam menyempurnakan solat subuh di Masjid Aqsa. Setelah menyedari kebakaran
tersebut, pihak muslimin serta merta mendapatkan air dari perigi-perigi
berdekatan masjid untuk memadamkan kebakaran tersebut. Malangnya, api yang marak
menyebabkan sebahagian masjid telah terbakar.
Siapakah dalang
di sebalik pembakaran Masjid Aqsa?
Michael Dennis Rohan, seorang doktor perubatan yang berasal daripada Australia
adalah orang yang bertanggungjawab di dalam peristiwa pembakaran Masjid Al-Aqsa. Dia
adalah seorang ekstremis yahudi yang sangat membenci Islam. Persoalannya, adakah
dia bertindak melakukan perbuatan terkutuk itu bersendirian? Jawapannya sudah
tentu tidak. Dia telah dibantu oleh golongan kristian Zionis. Buktinya jelas
dilihat tatkala mereka telah merancang pembakaran tersebut lebih awal lagi
dengan menutup seluruh saluran paip air yang menuju ke Masjid Al-Aqsa. Tidak
cukup dengan itu, pihak polis yang mengawal di sekitar Masjid Aqsa itu turut
menghalang pasukan bomba dan warga Arab daripada memasuki kawasan masjid
tersebut.
Di sebalik
kejadian pembakaran masjid ini, ada beberapa tujuan dan matlamat Yahudi yang
mesti diketahui oleh umat Islam. Perbuatan jahat Yahudi ini dilaksanakan untuk
memudahkan mereka meneruskan projek membina kuil Yahudi yang dikenali sebagai ‘Solomon
Temple’ atau Haikal Sulaiman di dataran Baitul Maqdis. Di samping itu, Michael
juga menyatakan bahawa dia tidak pernah menyesal dan berbangga atas
perbuatannya itu kerana mendakwa bahawa dirinya telah diutus oleh Allah untuk membakar masjid itu seperti yang dituntut
oleh Yahudi dalam kitab Talmud.
Ekoran daripada
pembakaran tersebut, ia telah meninggalkan kesan yang sangat teruk terhadap
Masjid Al-Aqsa. Kejadian tersebut telah menyebabkan kira-kira ¼ daripada kawasan
masjid Al-Aqsa musnah dijilat api. Perbuatan jahat Yahudi ini juga telah
menyebabkan tiga kawasan utama Masjid Al-Aqsa yang bersejarah iaitu Masjid
Umar, Mimbar Salahuddin Al-Ayyubi dan Mihrab Zakaria telah musnah. Bukan itu
sahaja, kebanyakan tingkap masjid hangus dijilat api serta perhiasan-perhiasan
ayat al-Quran di dinding yang indah turut terbakar.
Sandiwara
Yahudi terus terserlah tatkala Mahkamah Israel mengadili kes pembakaran masjid
ini. Perkara ini dilihat apabila penjenayah tersebut iaitu Michael, yang pada
awalnya ditangkap telah dilepaskan semula oleh Mahkamah tersebut kerana
kononnya dia didakwa mengalami masalah mental. Michael akhirnya hanya dikenakan
tindakan arahan supaya pulang ke negara
asalnya iaitu Australia tanpa berhadapan dengan sebarang hukuman.
Kesan daripada
peristiwa tersebut, umat Islam seluruh dunia bangkit menyatakan kemarahan
mereka dan melakukan protes bantahan terhadap pencabulan Masjid Al- Aqsa.Oleh
yang demikian, atas desakan dari umat Islam, pihak PBB telah mengambil inisiatif
dengan mengadakan sidang tergempar dan mengeluarkan Resolusi 271 yang mengutuk
perbuatan jahat Israel serta menyeru kepada puak Zionis agar memberhentikan
usaha mereka untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa. Selain itu juga, satu pertubuhan
iaitu pertubuhan OIC yang dianggotai oleh 57 buah negara telah ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin negara
Islam untuk mencegah segala usaha jahat Yahudi terhadap Masjid Al Aqsa. Pihak
OIC juga telah menjadikan isu Palestin ini sebagai isu utama umat Islam seluruh
dunia dan semenjak daripada peristiwa ini, 21 Ogos 1969 telah diangkat sebagai
Hari Memperingati Al-Quds sedunia.
Hari ini genap 44 tahun peristiwa itu
berlalu. Demikianlah kita melihat betapa liciknya perancangan Yahudi dalam usaha
memusnahkan masjid ketiga suci umat Islam, Masjid Al-Aqsa. Fikirkanlah sekiranya
ekstremis Yahudi ini meyakini bahawa kerja-kerja jenayah itu adalah perintah
tuhan mereka, maka adakah umat Islam itu sendiri tidak menganggap tanggungjawab
mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa adalah satu tuntutan agama dan tanda
seseorang beriman kepada Allah? Ayuh sama-sama kita muhasabah di mana posisi kita
di dalam menangani masalah umat sejagat ini. Semoga umat Islam sedar daripada
lamunan mimpi yang panjang dan terus bangkit
dalam mempertahankan Al-Aqsa.