Showing posts with label Tokoh. Show all posts
Showing posts with label Tokoh. Show all posts

Friday, 21 June 2013

Kenali Syeikh Izzuddin Al-Qassam

DIPOS OLEH Unknown PADA 09:05


As-Syahid Syeikh Izzuddin Al-Qassam

Untuk pengetahuan anda, Briged Al-Qassam diberi nama sempena dengan nama beliau. Nama penuh beliau ialah Muhammad Izzuddin Abdul Qadir Al-Qassam. Dilahirkan di Jibillah, Syria pada tahun 1882. Beliau merupakan seorang ulama' yang terkenal pada zaman itu.

Semasa penjajahan Perancis ke atas Syria, beliau telah menjual rumahnya untuk membeli 34 pucuk senjata bagi menentang penjajahan tersebut. Di bawah revolusi pimpinan Ibrahim Hanano, beliau dikhianati dan dijatuhkan hukuman mati oleh pihak Perancis. Beliau mempunyai dua pilihan, sama ada dihukum bunuh atau tunduk kepada Perancis.

Akhirnya, Syeikh Izzuddin Al-Qassam membuat keputusan untuk berhijrah ke Palestin kerana beliau amat memahami rancangan jahat Yahudi yang dibuat oleh Organisasi Zionis Antarabangsa di Basel, Switzerland pada 29 hingga 31 Ogos tahun 1897. Selama tujuh tahun beliau melakukan pelbagai usaha termasuklah dengan mendekati masyarakat Palestin, menjadi guru, pembimbing rohani dan ketua pergerakan. Beliau mendapat tempat di hati penduduk Palestin.

Pada tanggal 20 November 1935, beliau menemui syahid dalam pertempuran mempertahankan Palestin. Senaskhah Al-Quran terselit kemas di poket baju tentera yang dipakainya. Nama syeikh Izzuddin diabadikan oleh HAMAS dengan menamakan sayap ketenteraannya serta senjata dan benderanya.

Syeikh Izzuddin Al-Qassam telah meninggalkan kita, namun semangatnya tidak pernah hilang dan terus segar dalam jiwa pemuda-pemuda pejuang Palestin! 

Friday, 26 April 2013

Ismail Haniyeh : Tokoh Wira Palestin

DIPOS OLEH Unknown PADA 12:12


ISMAIL HANIYEH DAN KONFLIK DALAMAN PALESTIN

Ismail Haniyeh lahir pada Januari 1963, (Bahasa Arab: إسماعيل هنية)  adalah pemimpin politik utama parti Hamas dan bekas Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin.

Haniyeh lahir di kem pelarian Al-Shati di Genting Gaza. Pada tahun 1948, ibu bapanya melarikan diri selepas serangan-serangan bom Israel dan tempat itu kini dikenali sebagai Ashkelon di Israel. Pada tahun 1987, Ismail mendapat ijazah kesusasteraan Arab dari Universiti Islam Gaza. Pada tahun 1989, dia dikurung selama 3 tahun oleh pihak keselamatan Israel dan dibebaskan pada tahun 1992. Selepas itu, beliau diusir dari Lubnan. Dia pulang ke Gaza dan dilantik sebagai dekan Universiti Islam.


Selepas Hamas merampas Gaza daripada Fatah pada 14 Jun 2007, beliau telah dipecat oleh Presiden Mahmoud Abbas. Sebenarnya Mahmoud Abbbas selaku Presiden Palestin, tidak mempunyai kuasa membubarkan kabinet Ismail Haniyeh. Oleh kerana itu, Ismail Haniyeh menolak pembubaran dan pemecatan itu kerana ianya tiada dalam perlembagaan.

Haniyeh dilantik sebagai Perdana Menteri  pada 16 Februari 2006  berikutan Hamas diubah dan dibentuk semula  selepas Hamas menang dalam Pilihan Raya Legislatif Palestin pada 25 Januari 2006. Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 29 Mac 2006. Kemudian beliau meletak jawatan pada 15 Februari 2007 untuk membentuk kerajaan perpaduan antara Hamas dan Fatah. Beliau sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Palestin pada 18 Mac 2007.

SIKAP PREJUDIS ISRAEL

Selepas pemimpin rohaniah Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan pada 1997, Ismail Haniyeh dilantik menjadi pengerusi Hamas. Israel mensasarkannya sebagai orang yang bertanggungjawab membunuh rakyat Israel.

Pada tahun 2003, beliau cedera di bahagian tangan selepas tentera udara Israel melepaskan tembakan di Baitulmaqadis. Serangan Israel ini berikutan tindakan pejuang Hamas meletupkan diri dan mencederakan warganegara Israel. Pengaruhnya semakin meningkat selepas Kebangkitan Intifada ke -2  terutama kerana hubungan erat dengan Syeikh Ahmed Yassin dan ramai pemimpin Hamas dibunuh oleh pihak keselamatan Israel.

Pada 30 Jun 2006, kerajaan Israel mengancam untuk membunuh Haniyeh jika militan Hamas tidak membebaskan Gilad Shalit. Gilad Shalit ialah tentera Israel yang telah menceroboh dan mengintip di kawasan Gaza. Gilad tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pada 20 Oktober 2006, Ismail Haniyeh mahu Fatah dan Hamas bersatu dan tidak bertempur sesama sendiri. Malam itu, Ismail Haniyeh terselamat daripada serangan ketika sedang dalam konvoi untuk menemui Mahmoud Abbas di Gaza. Serangan itu bukan satu pakatan bunuh, sebaliknya seorang anggota Fatah yang mengamuk selepas bertelingkah dengan Hamas.

Pada 14 Disember 2006, Ismail Haniyeh dilarang masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah, Mesir. Beliau dilarang masuk oleh Menteri Pertahanan Israel Amir Peretz. Anak sulung Haniyeh cedera ketika melintasi sempadan.

Israel menganggap Ismail Haniyeh sebagai merbahaya kerana tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel. Ismail Haniyeh juga enggan mematuhi syarat meletakkan senjata. Oleh itu, langkah sekatan ekonomi dilakukan. Kerajaan Israel enggan menyerahkan lebih  USD600  juta wang cukai milik sah warga Palestin di Gaza.

Ismail Haniyeh menjawab beliau dilantik secara demokrasi oleh warga Palestin dan Israel tidak sekali-kali boleh menekannya. Israel tidak sepatutnya memberi layanan berbeza. Peruntukan wang cukai itu adalah hak sah rakyat Palestin, bukan sedekah daripada Israel.

AMERIKA : SEBUAH KEZALIMAN ATAS NAMA DEMOKRASI

Amerika juga menganggap Hamas sebagai organisasi pengganas. Amerika mengarahkan agar 50 juta dolar tidak dikeluarkan dari bank-bank asing untuk membantu kerajaan Hamas di Palestin. Menteri Ekonomi Palestin, Mazen Sonokrot bersetuju memulangkan semula bantuan Amerika.

Ismail Haniyeh berkata,

"Pihak Barat sentiasa saja menggunakan wang bantuan kemanusiaan untuk menekan kembali penduduk Palestin yang dibantu."

Hamas mahu Israel terlebih dahulu mengiktiraf negara Palestin sebagaimana peta 1967, membebaskan banduan di penjara Israel, mengiktiraf hak pelarian untuk pulang ke Palestin. Jika tidak mereka akan terus berjihad sehingga Baitulmaqdis dibebaskan. Malangnya Israel terus menghalang penduduk Palestin untuk terus bekerja di tanah mereka, merampas tanah mereka dan melakukan pembunuhan demi pembunuhan.


KONKLUSI


Wahai ikhwah akhawat sekalian, lihatlah bagaimana seorang pemimpin ini mampu mendidik rakyatnya untuk terus berjuang menegakkan agama Allah. Pendiriannya yang tegas dalam mempertahankan hak rakyat Palestin dan seluruh umat islam seisinya sedikit sebanyak mampu menggentarkan musuh. Justeru, marilah kita berfikir sejenak apakah yang telah kita lakukan untuk Islam dalam keadaan umat yang semakin parah ini? 

Renung-renungkanlah.



Nasirah Noor Osman

Tahun 2 Bahasa Arab
Universiti Aali Al-Bayt

Tuesday, 16 April 2013

Perjuangan As-Syahid Dr Abdul Aziz Al-Rantisi

DIPOS OLEH Unknown PADA 21:43

Seraut wajah itu masih kukuh dalam ingatan umat Islam. Semangat yang tidak pernah pudar dalam mempertahankan Palestin yang dicintainya. Bukan sahaja merupakan pejuang tanah air, beliau juga adalah seorang doktor pakar kanak-kanak yang hebat. Beliau ialah Asy-Syahid Dr Abdul Aziz al-Rantisi, merangkap pembantu Syeikh Ahmad Yassin yang terlebih dahulu pergi menghadap Pencipta dan memperoleh kemenangan syahid.

Dr Abdul Aziz Al-Rantisi pergi menghadap ilahi selepas beberapa bulan kesyahidan Syeikh Ahmad Yassin. Jika Sheikh Ahmad Yassin terbunuh selepas melangkah keluar dari masjid menunaikan solat subuh, Dr Abdul Aziz Al-Rantisi pula syahid setelah solat maghrib di Masjid Al-Ghafri, utara Gaza. Pada 17 April 2004, umat Islam menerima berita kesyahidan pemimpin yang sangat disegani, Dr Abdul Aziz Al-Rantisi telah dibedil oleh helikopter Apache milik zionis, yang turut menyerang Syeikh Ahmad Yassin beberapa bulan sebelumnya. Kata-kata yang masih tergiang-giang hingga kini dalam kalangan umat Islam, kata-kata yang keluar daripada bibir pejuang agama Allah,

“Semua orang akan mati, mengapa takut dengan kematian. Jika saya diberikan pilihan samada untuk mati dibedil oleh helikopter Apache (milik tentera Zionis) ataupun akibat serangan jantung, saya memilih (untuk dibedil) oleh Apache”.

Sesungguhnya kemenangan itu milik beliau, Allah memakbulkan harapan dan doa yang beliau impikan. Seorang pejuang agama Allah yang berhati luhur dan kental dalam apa jua keadaan. Semangat itu terus segar dalam ingatan ummat Islam.

Sedikit maklumat berkenaan latar belakang beliau. Dr Abdul Aziz al-Rantisi dilahirkan pada tahun 1947 di sebuah kampung bernama Binaa yang terletak di antara Asqalan dan Jaffa di dalam sebuah keluarga yang kuat beragama. Selepas peperangan 1948, keluarganya dipaksa untuk berhijrah ke Gaza dan seterusnya menetap di khemah pelarian Khan Yunus bersama para puluhan ribu pelarian yang lain. Ketika itu usianya hanya enam bulan. Beliau membesar bersama sebelas orang adik beradiknya yang terdiri daripada sembilan lelaki dan dua orang perempuan.

Beliau menjalani hidup sebagai pelajar perubatan di Universiti Iskandariah di Mesir bermula pada tahun 1965 hingga 1972 dengan cemerlangnya. Seterusnya pada tahun 1976, beliau menyambung pelajarannya di peringkat sarjana dalam bidang Pediatrik dan memulakan kerja sebagai seorang doktor perubatan di Hospital Nasir yang menjadi pusat perubatan utama di kawasan Khan Yunus ketika itu. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Gaza bermula tahun 1978.

Keterlibatannya dalam perjuangan Islam bermula semenjak beliau menuntut di Universiti Iskandariah lagi. Bersama-sama dengan rakan seperjuangan beliau mengasaskan Gerakan HAMAS pada tahun 1987. Dr Abdul Aziz Al-Rantisi telah beberapa kali ditangkap dan dipenjarakan. Namun, beliau tidak pernah sekali-kali berhenti dan mengalah. Beliau sentiasa menjadi sasaran tentera Israel pada ketika itu. Selepas kesyahidan syeikh Ahmad Yassin pada 22 Mac 2004, Dr Abdul Al-Rantisi dilantik sebagai pemimpin HAMAS bagi meneruskan perjuangan mempertahankan Palestin.

Pada hari sabtu, 17 April 2004, beliau pergi meninggalkan umat Islam buat selamanya. Semangat yang ditunjukkan oleh beliau menjadi pemangkin untuk pejuang-pejuang Palestin meneruskan usaha dalam membebaskan tanah air daripada pencerobohan Zionis. Sembilan tahun beliau meninggalkan kita dengan sebuah perjuangan yang cukup kental, perjuangan yang perlu diteruskan oleh generasi kini. Ayuh sama-sama kita berusaha menghidupkan Islam dalam diri dan kehidupan seharian, melambangkan peribadi muslim yang terbaik. Dr Abdul Aziz Al-Rantisi, kami bakal menyusulimu!



Nurul Afiqah Ibrahim
Tahun 2 Perubatan 
Jordan University of Science and Technology (JUST)

Saturday, 23 March 2013

Syeikh Ahmad Yassin : Jiwa Pembebas Palestin

DIPOS OLEH Unknown PADA 00:48

Seringkali kita mengagumi seorang penyanyi yang merdu suaranya, seorang  tukang masak yang hebat masakannya. Namun, harus juga bagi kita untuk tidak lupa kepada seorang tokoh mujahid yang amat mahsyur dalam perjuangan membebaskan tanah mulia Palestin.

Sudah genap 9 tahun, As Syahid  Sheikh Ahmad Yassin telah meninggalkan kita semua. Namun, peninggalannya tidak kosong. Kepergian jasadnya telah meninggalkan impak yang besar dalam diri setiap insan yang hatinya basah untuk merasai kehebatan Allah yang menciptakan insan secekal beliau.



Seorang tokoh yang mempunyai semangat juang yang sangat tinggi, yang sanggup berkorban dan yang tidak pernah kenal erti putus asa. Walaupun ditakdirkan Allah untuk lumpuh  sepanjang masa mudanya sehinggalah saat kematiannya, duduk di kerusi rodanya, ditangkap dan dipenjarakan, perkara ini tidak pernah menghalang As-Syahid untuk tidak mengambil bahagian dalam urusan dakwah dan pembebasan Palestin. Keberjayaannya dalam menubuhkan HAMAS dan kader-kader pejuang Palestin jelas terbukti kesungguhan dan kecekalannya.

Apa pula alasan kita yang sempurna tubuh badan untuk masih bermalas-malasan menunaikan solat subuh berjemaah di masjid, menunaikan solat di awal waktu dan dalam skop yang lebih besar lagi, menyebarkan risalah suci kepada seluruh manusia yang merupakan sunnah terbesar Nabi Muhammad S.A.W?


Tidaklah dilupakan seorang yang telah meninggal dunia melainkan peribadi-peribadi dan sifatnya yang memberi kesan yang berterusan dalam sanubari insan-insan lain walaupun jasad beliau telah hilang dari bumi. Begitulah kita sebagai seorang khalifah di dunia ini, sepatutnya memandang mujahid Islam dengan perasaan cemburu dan iri hati kerana kesyahidan dan kehebatan peribadi beliau dan berusaha kearah pemantapan diri menjadi seorang hamba yang mempunyai peribadi yang tinggi, bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan menyedari hakikat kehidupan ini. Sesungguhnya sifat-sifat seorang insan seperti inilah yang harus kita jadikan ikutan dan idola kita dalam menjayakan misi dakwah kita di alam ini.

Sedarilah wahai anak muda, usia mudamu inilah masa untuk mengerah tenaga, masa untuk melakukan aktiviti yang berfaedah, nikmat kesihatan digunakan untuk menyebarkan risalah Islam dan ilmu dicari untuk diamal dan disebarkan.

Wallahu’alam.


AL-AQSA KEPRIHATINAN BERSAMA