Monday 16 September 2013

Tragedi Penyembelihan Sabra dan Shatila

DIPOS OLEH Unknown PADA 07:55



Sabra dan Shatila adalah 2 daripada kem pelarian bagi rakyat Palestin yang terletak di Beirut, Lubnan. Kem pelarian ini wujud selepas peristiwa Nakbah Palestin pada tahun 1948.

Tanggal 16-18 September 1982 menyaksikan pembunuhan beramai-ramai pelarian Palestin di kem ini. Serangan bertubi-tubi dan tragis telah dilakukan oleh pengganas Zionis Israel atas arahan dalang yang terbesar; Menteri Pertahanan ketika itu iaitu Ariel Sharon.

 

Ariel Sharon telah mengambil kesempatan daripada krisis yang berlaku tehadap Milita Phalangist Kristian di Lubnan bagi menghapuskan pelarian Palestin yang terpaksa menumpang di Lubnan setelah dihalau ketika tragedi Nakbah 1948.


Apakah krisis yang berlaku ke atas milita Phalangist Kristian di Lubnan dan rentetan peristiwa?

Tanggal 11 September 1982 Menteri Pertahanan Ariel Sharon yang juga merupakan arkitek bagi penjajahan Israel ke atas Lubnan telah mengumumkan terdapat lebih kurang 2000 pengganas yang masih berada di sekitar kem pelarian di Beirut, Lubnan.

Penuh dengan rancangan yang rapi dan penuh dengan tipu daya, 3 hari selepas itu Presiden Lubnan yang juga merupakan Ketua Parti Phalangist Lubnan; Basher Gemayel telah terbunuh dalam letupan bom yang berlaku di ibu pejabatnya oleh sekumpulan bersenjata iaitu pada tanggal 14 September 1982.

Dengan alasan terdapatnya pengganas di sekitar kem pelarian di sekitar Beirut, Lubnan pada tanggal 15 September 1982 bermulalah pengepungan oleh tentera Zionis Israel dan laluan di kem Sabra dan Shatila telah ditutup.

Keesokan harinya 16 September 1982, Ariel Sharon dan Ketua Turus Tentera Israel telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Milita Phalangist Lubnan untuk menjemput mereka masuk ke kem Sabra dan Shatila untuk membersihkan ‘sarang pengganas’.

Serangan yang dilakukan selama 3 hari berturut-turUt (16- 18 September 1982) telah mengorbankan lebih kurang  3 500 orang pelarian Palestin.


 
 
Bagaimana serangan dilakukan?

Serangan pertama dilakukan apabila 1500 orang milita Phalangist yang masuk ke kawasan pelarian dengan menggunakan jip-jip yang dibekalkan oleh tentera Yahudi dan bersenjatakan senapang, pisau dan parang.
Mereka membunuh dan menyembelih pelarian yang terdapat di sana dan juga merogol kaum wanita tanpa belas kasihan.




Manakala tentera Zionis berkawal di luar kem pelarian untuk memastikan tiada siapa yang terlepas untuk lari dari kem tersebut. Dan pada sebelah malam pula tentera Yahudi menembak roket suluh (flares) ke atas kem pelarian bagi meneranginya. Ini adalah untuk memudahkan kerja-kerja ‘penghapusan pengganas’ oleh Phalangist Milita diselesaikan.

Dan pembunuhan demi pembunuhan telah dilakukan sehingga 18 September 1982. Pada hri tersebut barulah Phalangist Milita meninggalkan kem pelarian tersebut. Dan pada hari itu jugalah (18 September 1989; selepas pembunuhan puas dilakukan), baru masyarakat dunia mengetahui hal tersebut.





Saturday 14 September 2013

Perjanjian Oslo 1993

DIPOS OLEH Unknown PADA 23:04




          Perjanjian Oslo, secara rasminya merujuk kepada Declaration of Principles on interim Self-Government Arrangements (Deklarasi Prinsip-Prinsip Ke Atas Persediaan Pemerintahan Sendiri Sementara) atau ringkasnya Declaration of Principles (DOP). Persetujuan muktamad diterima di Oslo, Norway pada 20 Ogos 1993 setelah ditandatangani secara rasmi dalam satu majlis umum di Washington D.C pada 13 September 1993. Perjanjian ini ditandatangani oleh Mahmoud Abbas bagi pihak Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Shimon Peres bagi pihak Israel.

          Turut menyaksikan perjanjian ini ialah Warren Cristopher dari Amerika Syarikat dan Andrei Kozyrev dari Rusia dengan kehadiran Bill Clinton (Presiden Amerika Syarikat), Yasir Arafat (Pengerusi PLO) dan Yitzhak Rabin (Perdana Menteri Israel). Antara kandungan perjanjian ialah :

1. Rakyat Palestin diberikan pemerintahan autoriti di kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

2. Sebelum bermula pemerintahan autoriti pada tahun ke-3, sempadan kawasan akan diadakan bagi kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Ia akan menjadi sempadan kekal berdasarkan Resolusi Majlis Keselamatan PBB (resolusi 242 dan resolusi 338).

3. Dalam tempoh 2 bulan selepas perjanjian ini dimeterai, kerajaan Israel akan mengundurkan askarnya dari kawasan Semenanjung Gaza dan kawasan Jericho.

4. Selepas 9 bulan pemerintahan autoriti berjalan, satu pilihanraya umum mesti diadakan bagi memilih Pihak Berkuasa Palestin(PA). Pihak PA Cuma mempunyai kuasa memerintah di kawasan yang diberi autonomi sahaja. Sebaik sahaja pilihanraya umum diadakan, tentera Israel mesti berundur dari penempatan rakyat Palestin.

5. Kerajaan yang diterajui pihak PA cuma mempunyai kuasa memerintah kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sahaja. Pihak PA tidak boleh membina kekuatan dan senjata bagi menangkis ancaman dan serangan dari luar. Pihak PA tidak mempunyai kuasa di kawasan penempatan Israel di kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Pihak PA juga tidak mempunyai hak ke atas Baitulmuqaddis dan Masjidil Aqsa.

6. Kerajaan Israel mempunyai kuasa veto untuk membatalkan apa-apa keputusan yang dibuat oleh Majlis Legislatif PA.

7. Apa yang tidak dapat diselesaikan melalui perjanjian damai mesti diselesaikan melalui rundingan bersama.

8. Penyerahan kuasa akan dilakukan secara berperingkat.

9. Pihak PA tidak akan dilabel sebagai pengganas kerana mereka menjaga keamanan rakyat Palestin.

          Pihak PA bertanggungjawab menghalang apa sahaja usaha bersenjata ke atas rakyat Israel dan askarnya daripada pihak rakyat Palestin. Perjanjian Oslo adalah kemuncak kepada siri-siri persetujuan yang dibuat secara rahsia dan terbuka, yang dapat dikesan bermula dengan Persidangan Madrid, 1991 dan dirundingkan di antara PLO dan Israel sebagai sebahagian daripada ‘Proses Damai’ untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel. Namun, erti kata damai tidak pernah terzahir melalui perjanjian tersebut. Malah rejim Yahudi sedang menyusun strategi yang sangat terperinci untuk terus merampas bumi Palestin.

          Kandungan perjanjian jelas menunjukkan keuntungan yang menyebelahi mereka. Namun, dikaburi dengan beberapa keterangan yang kelihatan membawa kepada perdamaian. Pada hakikatnya, mereka tidak pernah mematuhi isi kandungan perjanjian yang memihak kepada keuntungan rakyat Palestin. Dengan adanya perjanjian ini bermakna rakyat Palestin telah kehilangan 77 peratus bumi Palestin dan kuasa pemerintahan rakyat Palestin dihadkan semaksimum mungkin. Mereka cuma dapat memerintah kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sahaja. Selain itu, perjanjian ini memberikan ruang yang cukup luas kepada kerajaan Israel untuk meluaskan penempatan mereka di kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

          Menjelang tahun 2000, bilangan penduduk Yahudi di Tebing Barat mencecah 200,000 orang penduduk. Tambahan lagi, termeterainya perjanjian yang berat sebelah ini juga menyebabkan rakyat Palestin tidak mempunyai senjata jika diserang oleh tentera Israel. Menteri Infrastruktur ketika itu, iaitu Ariel Sharon mengarahkan agar semua sumber air di Tebing Barat diletakkan di bawah pengawasan kementeriannya. Tindakan tersebut secara terang mencabul hak rakyat Palestin yang diperuntukkan kepada Pihak Berkuasa Palestin.



          Ternyata Perjanjian Oslo hanyalah tipu muslihat mereka. Ianya tidak lain, hanyalah cara untuk menghalalkan penindasan melalui ‘undang-undang’ dan perjanjian yang dipersetujui oleh pemimpin Palestin yang merupakan boneka rejim Yahudi. Jika diselongkar, terlalu banyak kekejaman yang menimpa rakyat Palestin berselindung di sebalik Perjanjian Oslo. Hal ini memberi pengajaran kepada umat Islam agar terus berhati-hati dengan tipu muslihat Yahudi dan sentiasa meletakkan langkah berjaga-jaga ketika berhadapan dengan mereka.

Sumber rujukan :
http://sautulhaqq.blogspot.com
http://palestinefolder.blogspot.com
http://www.aqsasyarif.org.my

Tuesday 20 August 2013


      

        Masihkah kita ingat tentang tragedi hitam yang  pernah dilakukan ke atas Masjid Al-Aqsa suatu ketika dahulu? Ya. Tarikh 21 Ogos adalah tarikh keramat buat umat islam seluruh dunia kerana ia adalah peristiwa pencabulan ke atas masjid Al-Aqsa. Genap 44 tahun peristiwa ini berlaku. Ia bagaikan suatu penghinaan kepada umat Islam oleh Zionis Israel yang sudah bertahun-tahun lamanya menyimpan dendam terhadap umat Islam. Tragedi ini berlaku seusai umat Islam menyempurnakan solat subuh di Masjid Aqsa. Setelah menyedari kebakaran tersebut, pihak muslimin serta merta mendapatkan air dari perigi-perigi berdekatan masjid untuk memadamkan kebakaran tersebut. Malangnya, api yang marak menyebabkan sebahagian masjid telah terbakar.
Siapakah dalang di sebalik pembakaran Masjid Aqsa?


         Michael Dennis Rohan, seorang doktor perubatan yang berasal daripada Australia adalah orang yang bertanggungjawab di dalam peristiwa pembakaran Masjid Al-Aqsa. Dia adalah seorang ekstremis yahudi yang sangat membenci Islam. Persoalannya, adakah dia bertindak melakukan perbuatan terkutuk itu bersendirian? Jawapannya sudah tentu tidak. Dia telah dibantu oleh golongan kristian Zionis. Buktinya jelas dilihat tatkala mereka telah merancang pembakaran tersebut lebih awal lagi dengan menutup seluruh saluran paip air yang menuju ke Masjid Al-Aqsa. Tidak cukup dengan itu, pihak polis yang mengawal di sekitar Masjid Aqsa itu turut menghalang pasukan bomba dan warga Arab daripada memasuki kawasan masjid tersebut.
        Di sebalik kejadian pembakaran masjid ini, ada beberapa tujuan dan matlamat Yahudi yang mesti diketahui oleh umat Islam. Perbuatan jahat Yahudi ini dilaksanakan untuk memudahkan mereka meneruskan projek membina kuil Yahudi yang dikenali sebagai ‘Solomon Temple’ atau Haikal Sulaiman di dataran Baitul Maqdis. Di samping itu, Michael juga menyatakan bahawa dia tidak pernah menyesal dan berbangga atas perbuatannya itu kerana mendakwa bahawa dirinya telah diutus oleh Allah  untuk membakar masjid itu seperti yang dituntut oleh Yahudi dalam kitab Talmud.
        Ekoran daripada pembakaran tersebut, ia telah meninggalkan kesan yang sangat teruk terhadap Masjid Al-Aqsa. Kejadian tersebut telah menyebabkan kira-kira ¼ daripada kawasan masjid Al-Aqsa musnah dijilat api. Perbuatan jahat Yahudi ini juga telah menyebabkan tiga kawasan utama Masjid Al-Aqsa yang bersejarah iaitu Masjid Umar, Mimbar Salahuddin Al-Ayyubi dan Mihrab Zakaria telah musnah. Bukan itu sahaja, kebanyakan tingkap masjid hangus dijilat api serta perhiasan-perhiasan ayat al-Quran di dinding yang indah turut terbakar.

    
        Sandiwara Yahudi terus terserlah tatkala Mahkamah Israel mengadili kes pembakaran masjid ini. Perkara ini dilihat apabila penjenayah tersebut iaitu Michael, yang pada awalnya ditangkap telah dilepaskan semula oleh Mahkamah tersebut kerana kononnya dia didakwa mengalami masalah mental. Michael akhirnya hanya dikenakan tindakan arahan supaya  pulang ke negara asalnya iaitu Australia tanpa berhadapan dengan sebarang hukuman.
        Kesan daripada peristiwa tersebut, umat Islam seluruh dunia bangkit menyatakan kemarahan mereka dan melakukan protes bantahan terhadap pencabulan Masjid Al- Aqsa.Oleh yang demikian, atas desakan dari umat Islam, pihak PBB telah mengambil inisiatif dengan mengadakan sidang tergempar dan mengeluarkan Resolusi 271 yang mengutuk perbuatan jahat Israel serta menyeru kepada puak Zionis agar memberhentikan usaha mereka untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa. Selain itu juga, satu pertubuhan iaitu pertubuhan OIC yang dianggotai oleh 57 buah negara  telah ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin negara Islam untuk mencegah segala usaha jahat Yahudi terhadap Masjid Al Aqsa. Pihak OIC juga telah menjadikan isu Palestin ini sebagai isu utama umat Islam seluruh dunia dan semenjak daripada peristiwa ini, 21 Ogos 1969 telah diangkat sebagai Hari Memperingati Al-Quds sedunia.
         Hari ini genap 44 tahun peristiwa itu berlalu. Demikianlah kita melihat betapa liciknya perancangan Yahudi dalam usaha memusnahkan masjid ketiga suci umat Islam, Masjid Al-Aqsa. Fikirkanlah sekiranya ekstremis Yahudi ini meyakini bahawa kerja-kerja jenayah itu adalah perintah tuhan mereka, maka adakah umat Islam itu sendiri tidak menganggap tanggungjawab mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa adalah satu tuntutan agama dan tanda seseorang beriman kepada Allah? Ayuh sama-sama kita muhasabah di mana posisi kita di dalam menangani masalah umat sejagat ini. Semoga umat Islam sedar daripada lamunan mimpi yang panjang dan terus bangkit  dalam mempertahankan Al-Aqsa.

Friday 21 June 2013

Kenali Syeikh Izzuddin Al-Qassam

DIPOS OLEH Unknown PADA 09:05


As-Syahid Syeikh Izzuddin Al-Qassam

Untuk pengetahuan anda, Briged Al-Qassam diberi nama sempena dengan nama beliau. Nama penuh beliau ialah Muhammad Izzuddin Abdul Qadir Al-Qassam. Dilahirkan di Jibillah, Syria pada tahun 1882. Beliau merupakan seorang ulama' yang terkenal pada zaman itu.

Semasa penjajahan Perancis ke atas Syria, beliau telah menjual rumahnya untuk membeli 34 pucuk senjata bagi menentang penjajahan tersebut. Di bawah revolusi pimpinan Ibrahim Hanano, beliau dikhianati dan dijatuhkan hukuman mati oleh pihak Perancis. Beliau mempunyai dua pilihan, sama ada dihukum bunuh atau tunduk kepada Perancis.

Akhirnya, Syeikh Izzuddin Al-Qassam membuat keputusan untuk berhijrah ke Palestin kerana beliau amat memahami rancangan jahat Yahudi yang dibuat oleh Organisasi Zionis Antarabangsa di Basel, Switzerland pada 29 hingga 31 Ogos tahun 1897. Selama tujuh tahun beliau melakukan pelbagai usaha termasuklah dengan mendekati masyarakat Palestin, menjadi guru, pembimbing rohani dan ketua pergerakan. Beliau mendapat tempat di hati penduduk Palestin.

Pada tanggal 20 November 1935, beliau menemui syahid dalam pertempuran mempertahankan Palestin. Senaskhah Al-Quran terselit kemas di poket baju tentera yang dipakainya. Nama syeikh Izzuddin diabadikan oleh HAMAS dengan menamakan sayap ketenteraannya serta senjata dan benderanya.

Syeikh Izzuddin Al-Qassam telah meninggalkan kita, namun semangatnya tidak pernah hilang dan terus segar dalam jiwa pemuda-pemuda pejuang Palestin! 

Siapakah Briged Izzuddin Al-Qassam?

DIPOS OLEH Unknown PADA 08:56


Briged Al-Qassam merupakan barisan ketenteraan HAMAS yang terdiri daripada pemuda-pemuda yang berumur antara 18 hingga 30 tahun, barisan yang mempertahankan Palestin daripada penjajahan tentera zionis. Briged Al-Qassam diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin, Dr Ibrahim al-Maqadema dan Sheikh Salah Shehada pada tahun 1984. 

Antara syarat-syarat yang melayakkan pemuda-pemuda ini untuk menganggotai Briged Al-Qassam adalah seperti berikut:

1. Menjaga solat 5 waktu secara berjemaah.
2. Gigih berpegang dengan ajaran Islam.
3. Kuat mengamalkan sunnah Rasulullah saw.
4. Mengimani perjuangan pembebasan al-Aqsa dan Palestin.
5. Berdisiplin dan mentaati kepimpinan.
6. Mencintai dan bersedia syahid.

Pemuda-pemuda Al-Qassam akan melakukan sujud syukur setiap kali selepas tamat pertempuran melawan tentera zionis. Mereka ialah pejuang-pejuang yang merindui syahid di jalanNya, mempunyai peribadi yang mulia dan menjadikan Al-Quran sebagai teman sepanjang masa. 

Sebagaimana Kontantinopel berjaya dibebaskan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh dan tentera-tenteranya seperti yang telah tercatat dalam hadis nabi. Sabda Rasulullah S.A.W. ketika menggali Parit Khandaq, maksudnya: “Konstantinopel (Instanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (Hadis riwayat Imam Ahmad). 

Begitu juga Palestin, tanah suci ini bakal dibebaskan oleh pemuda-pemuda yang hebat!



Friday 31 May 2013

31 Mei 2010 : Tragedi Kapal Mavi Marmara

DIPOS OLEH Unknown PADA 01:02

Sebuah kapal besar, Mavi Marmara milik Turki belayar merentasi Laut Marmara menuju ke Gaza dalam usaha untuk memberikan barangan bantuan kepada mangsa kekejaman Zionis. Kapal Mavi Marmara berlepas dari pelabuhan di Istanbul menuju ke Selatan Turki untuk mengambil penumpang di Pelabuhan Antalya, sebelum meneruskan pelayaran ke Gaza. Terdapat lapan buah kapal lain yang terdiri daripada beberapa negara turut mengiringi Mavi Marmara menuju ke perairan Mediterranean. Namun, hanya enam buah kapal yang dapat menyambung pelayaran disebabkan kerosakan yang berlaku pada kapal tersebut.

Suasana ketika Mavi Marmara mula bertolak dari Istanbul

Rombongan ini turut disertai oleh beberapa orang relawan dari Malaysia yang bergabung dengan ratusan aktivis lain dari seluruh dunia. Sheikh Raed Solah, pejuang Palestin juga turut berada dalam rombongan ini. Peluang ini digunakan sebaik mungkin oleh relawan Malaysia dan Indonesia bagi mendapatkan pengalaman dan ilmu daripada beliau.

Menjelang subuh pada 31 Mei 2010, anak-anak kapal dikejutkan dengan kemunculan puluhan bot-bot kecil dan helikopter yang cuba menceroboh Mavi Marmara. Bot-bot yang dinaiki oleh tentera Zionis ini cuba untuk menaiki Mavi Marmara namun gagal sehinggalah sebuah helikopter milik mereka berjaya menurunkan beberapa orang komando. Beberapa tembakan dilepaskan dari helikopter ke arah para aktivis di atas kapal. Para aktivis yang langsung tidak mempunyai kelengkapan senjata, menggunakan apa sahaja yang ada termasuklah pemancut air dalam usaha mempertahankan diri. Mereka diarahkan supaya tidak melawan apabila berlaku banyak kecederaan dan pembunuhan. Aktivis yang cedera, berusaha diselamatkan oleh doktor yang bersama-sama dalam rombongan ini dalam keadaan kekurangan alatan perubatan.

Menjelang pagi, bot-bot Zionis sekali lagi mengepung Mavi Marmara, mengarahkan supaya pelayaran tidak diteruskan dan berlabuh di Ashdod, Israel. Para aktivis kemudiannya dipenjarakan di Beer Sheba. Sembilan orang aktivis Turki syahid dan lima puluh enam aktivis lain telah tercedera dalam tragedi tersebut.

Tiga tahun telah berlalu, detik ini memberi sejarah hitam kepada umat Islam dalam usaha untuk membuka mata dunia mengenai kekejaman yang dilakukan oleh Zionis terhadap umat Islam di Palestin.

Di sini disertakan pautan berserta dengan video dan gambar-gambar yang menceritakan saat getir kejadian tersebut :






Tuesday 21 May 2013

Nasib Bangsa Penyelamat Al-Quds

DIPOS OLEH Unknown PADA 23:37


Kenalkah anda dengan bangsa Kurdish?

Kurdish merupakan satu bangsa penduduk asli satu wilayah yang sering dirujuk sebagai Kurdistan, iaitu satu wilayah yang meliputi sebahagian Iran, Iraq, Syria, dan Turki. 

Bangsa Kurdish adalah bangsa Salahuddin Al-Ayubi dan tenteranya, yang mana telah membebaskan Al-Quds dari perang Salib, walaupun mereka bukan Arab tetapi mereka telah berjaya membuktikan kekuatan mereka membela nasib umat Islam, walaupun tanah Al-Quds yang dijajah itu bukannya terdiri dari kaum kerabat mereka yang sebangsa, tetapi atas dasar aqidah mereka bangkit melawan.

Selepas berakhirnya era Khilafah Uthmaniyah bangsa Kurdish dipecahkan oleh British menjadi puak-puak minoriti di pelbagai negara seperti Iraq, Turki, Iran, Syria, Azerbaijan, Lubnan dan beberapa negara Eropah. Semuanya kerana satu sebab, takut akan lahirnya Salahuddin Al-Ayubi yang baru!

Bangsa yang berpotensi menegakkan Islam akan dipecah belahkan oleh musuh, lihatlah musuh Islam sendiri tahu peranan satu bangsa yang kuat akan mampu menjadi pendokong Islam yang kuat, dan perkara paling menggembirakan mereka adalah perpecahan bangsa yang mendokong Islam seperti mana mereka telah lakukan pada bangsa Kurdish. Bangsa yang MEMBEBASKAN Bumi Al-Quds!


Saturday 18 May 2013

Kunjungan Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi ke Gaza

DIPOS OLEH Unknown PADA 17:10


Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi telah melakukan lawatan ke Gaza selama dua hari pada 8 dan 9 Mei 2013. Kedatangan beliau yang dijemput oleh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh telah mendapat sambutan meriah daripada penduduk Gaza.

Dalam ucapan ketika majlis keraikan ketibaannya, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi  telah mengingatkan penduduk Palestin agar sentiasa mengingati janji perjuangan ini bersama iaitu membebaskan tanah Gaza dan Palestin kesemuanya dan diwariskan semangat ini kepada generasi baru bumi Al-Quds.


Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi telah melakukan beberapa siri lawatan sekeliling Gaza antaranya Universiti Islam Gaza, beliau telah dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat oleh universiti tersebut. Kerajaan Palestin juga telah berbesar hati memberikan kerakyatan dan warganegara Palestin kepada beliau.

Suatu majlis sambutan besar-besaran telah dibuat di bandar Gaza pada 9 Mei sempena kedatangan beliau. Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi menyeru kepada kesepakatan umat Islam dalam memperjuangkan isu Palestin dan menegaskan bahawa umat Islam tidak seharusnya menerima sebarang tawaran yang akan memisahkan mereka dari perjuangan ini dan sentiasa melakukan jihad sehingga Palestin dibebaskan.

Beliau telah berangkat pulang pada petang 9 Mei 2013 melalui pintu Rafah.




Monday 6 May 2013



Apakah maksud di sebalik perkataan “baarakna”? “Baarakna” bermaksud “yang telah Kami berkati”, telah disebut sebanyak enam kali di dalam Al-Quran. Terdapat mesej penting yang ingin disampaikan kepada umat manusia seluruhnya melalui ayat-ayat ini. Sebelum itu, mari sama-sama kita lihat satu-persatu ayat yang mengandungi kalimah “baarakna” ini.

1)
A137

Maksudnya : Dan Kami pusakakan kepada kaum yang telah ditindas itu, negeri-negeri bahagian timur bumi dan bahagian baratnya yang telah Kami beri berkah padanya. Dan telah sempurnalah perkataan Tuhanmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israil disebabkan kesabaran mereka. Dan Kami hancurkan apa yang telah dibuat Firaun dan kaumnya dan apa yang telah dibangun mereka. (Surah Al-A’raf 7 : 137)

2)
A001
Maksudnya : Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Isra’ 17 : 1)

3)
A071
     

Maksudnya : Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia. (Surah Al-Anbiya’ 21 : 71)

4)
A081
Maksudnya : Dan (telah Kami tundukkan) untuk Sulaiman angin yang sangat kencang tiupannya yang berhembus dengan perintahnya ke negeri yang Kami telah memberkatinya. Dan adalah Kami Maha Mengetahui segala sesuatu. (Surah Al-Anbiya’ 21 : 81)

5)
A018 

Maksudnya : Dan di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): " Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman". (Surah Saba’ 34 : 18)

6)
A113
     
Maksudnya : Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri. (As-Soffat 37 : 113)

Negeri Syam merupakan kawasan yang diberkati oleh Allah berbanding dengan kawasan-kawasan lain di dunia keseluruhannya. Syam yang terdiri daripada beberapa buah negara iaitu Palestin, Jordan, Lubnan dan Syria merupakan tanah yang diberkatiNya sepanjang zaman. Bangsa Arab yang terkenal dengan ketegasan dan keberaniannya, di mana para rasul dan nabi dilantik daripada kalangan mereka, telah terpilih untuk mendudukinya. Namun sayangnya, kita dapat lihat tiada lagi keamanan dan ketenangan di negara-negara tersebut. Hak-hak umat Islam diperkotak-katikkan, umat Islam dibunuh dengan kejamnya tanpa belas kasihan sedikitpun oleh musuh-musuh Allah.
Nasib umat Islam masih belum terbela, keadaan menjadi semakin genting dan musuh-musuh Islam masih berusaha untuk menjatuhkan serta menghancurkan Islam. Umat Islam menjadi semakin lemah dari hari ke hari. Di manakah umat Islam yang lain? Hanya memandang sepi dan tidak merasai mereka adalah sebahagian daripada kita? Menjadi tanggungjawab kepada kita semua untuk menjadi ejen dalam usaha untuk membebaskan negara-negara Islam daripada terus terjajah dari segi kenegaraan mahupun ekonomi dan pemikiran. Kekuatan itu tidak akan datang sekiranya kita hanya sibuk dengan kehidupan sendiri tanpa berusaha memperbaiki dan mempersiapkan diri ke arah yang lebih baik.
Jelaslah bagi umat Islam, menjadi keperluan untuk mengambil tahu tentang keadaan saudara-saudara seislam kita di negara-negara ini terutamanya setelah apa yang berlaku di Palestin dan juga Syria. Cakna tentang keadaan saudara kita di Palestin, Syria dan negara-negara Islam yang lain merupakan perkara asas yang boleh kita lakukan. Mereka memerlukan bantuan daripada kita semua. Berjuanglah kalian dalam keadaan ringan mahupun berat, korbankan harta dan jiwamu untuk mereka. Sekiranya mereka berjuang dengan darah, bagaimana pula kita? Mereka memperoleh syahid di jalanNya, tetap hidup di sisi Yang Maha Esa.
Mulakan dengan diri sendiri, memperbaiki kelemahan diri. Di samping itu, berusahalah sama-sama dengan menegakkan islam dalam diri, amar makruf dan nahi mungkar. Menggunakan harta yang ada untuk sama-sama menyumbang kepada umat Islam yang memerlukan. Bukan balasan dunia yang diidamkan, tetapi ganjaran dan rahmat Allah yang hakiki diharapkan. Suatu masa nanti, Islam pasti tertegak. Tidak kira bila masanya akan tiba, biarlah kita turut mengerah tenaga dalam usaha untuk ke arah itu. Jadilah kalian tentera-tentera Allah yang dirindui oleh penduduk langit dan bumi!


Nurul Afiqah Ibrahim
Tahun 2 Perubatan
Jordan University of Science and Technology (JUST) 


Thursday 2 May 2013

As-Syahid Ahmad Al-Ja'bari

DIPOS OLEH Unknown PADA 03:57


15 November 2012, dunia dikejutkan lagi dengan kesyahidan salahseorang pimpinan Hamas yang sangat berwibawa. Beliau adalah Ahmad Said Khalilal-Ja’bari  atau lebih dikenali sebagai AhmadAl-Ja’bari. Beliau syahid akibat serangan udara oleh tentera Israel  sewaktu berada di dalam kenderaan bersama pengawal peribadinya, Mohammed al-Hams. Serangan udara yang digelar ‘pinpoint airstrike’itu cukup untuk menggambarkan betapa tingginya keinginan Israel untukmelenyapkan kewujudan beliau dari muka bumi ini. Sebelum serangan tersebut, tentera Israel telah berusaha beberapakali untuk membunuhnya. Pada tarikh 18 Ogos 2004, Zionis Israel melancarkanserangan dengan menembak roket dari helikopter Apache ke rumah beliau. Walau bagaimanapun,beliau hanya mengalami kecederaan manakala anak sulungnya, Muhammad dansaudaranya gugur syahid.   


As-Syahid Ahmad al-Ja'bari duduk bersebelahan dengan Khalid Mesh'al


Melihat  kepada ‘husnul khatimah’  yang telah berjaya diraihnya, tentu sahajabeliau bukan insan biasa. Pelbagai rintangan terpaksa beliau hadapi demimempertahankan Tanah Suci umat Islam ini. Beliau memulakan perjuangannya untuk membebaskanPalestin bersama Fatah. Pada tahun 1982, beliau ditahan ketika mengikuti sebuahoperasi tentera anti-zionis dan kemudiannya dipenjarakan selama 13 tahun.Namun, semangatnya tidak pernah pudar malahan akalnya semakin rancak memikirkan jalan untuk meneruskan perjuangannya. Ketikadi dalam penjara, Ahmad Al-Ja’bari mengubah strategi perjuangannya danmemutuskan untuk melakukan perjuangan disertai dengan kekuatan agama. Olehsebab itu, beliau mula bergabung dengan Harakah Jemaah Islamiah.

Setelah bergabung dengan Jemaah Islamiah beliau bergauldengan tokoh-tokoh penting Hamas seperti As-Syahid Abdul Aziz Ar-Rantisi,As-Syahid Ismail Abu Syanab, Nizar Rayyan, Ibrahim Al-Muqaddimah dan jugaAs-syahid Soleh Syahadah. Hubungan yang akrab ini membuatkan beliau terusmenggabungkan diri ke dalam  BridgedAl-Qassam sejurus keluar dari penjara. 

Ahmad al-Ja’baridibebaskan dari penjara Israel pada tahun 1995 dan mula melibatkan diri dalamsaf Kepimpinan Politik Hamas di Bandar Gaza pada tahun 1997. Hubungannya denganMuhammad Ad-Dheif, Saad Al-‘Arabid dan Adnan Al-Ghoul, yang merupakan komandanBridged Izzuddin Al-Qassam menjadi semakin kuat. Hal ini membuatkan pasukankeamanan yang dimiliki oleh pihak berkuasa Palestin menahannya dengan menuduhbeliau sebagai penghubung antara ketenteraan dan kepimpinan politik Hamas padatahun 1998  .
Setelah itu, Ahmadal-Ja’bari dibebaskan pada tahun 2000 iaitu pada tahun intifadha Masjid al-Aqsadan ketika itu bermulanya serangan Israel ke atas pengkalan Ketenteraan PihakBerkuasa di Bandar Gaza. Hubungan Ahmad Al-Ja’bari dengan as-Syahid Syahadahdan Muhammad ad-Dheif yang semakin kuat memberi ruang dan jalan pada Ahmadal-Ja’bari untuk terlibat sama dalam Operasi Pergerakan Ketenteraan Bridgedal-Qassam. Bersama-sama dengan kedua-dua tokoh ini, Ahmad al-Ja’bari berjaya mewujudkansatu organisasi ketenteraan Hamas yang baik dari sudut pengurusan kewangan danketenteraan.
Pada tahun 2003,cubaan membunuh tentera Zionis Israel keatas Muhammad ad-Dheif di lakukan. Serangantersebut telah menyebabkannya lumpuh dan mengalami luka yang parah. Di sebabkanitu, Muhammad ad-Dheif tidak lagi memegang tampuk kepimpinan Bridged Izzuddinal-Qassam dan berlaku pertukaran Kepimpinan Bridged Izzuddin al-Qassam kepadaAhmad al-Ja’bari. Walaubagaimanapun, ketika itu Muhammad ad-Dheif secararasminya masih menjadi sebahagian Kepimpinan Bridged Izzuddin al-Qassam selamasetahun.
Dalam tempohyang begitu singkat, Ahmad al-Ja’bari mampu mengendalikan Ketenteraan Hamasdengan perkembangan yang sangat memberangsangkan. Hampir 10 ribu pasukan telah berjayaditubuhkan dan pada setiapnya terdapat tugasan dan unit-unit tertentu. Beliau mewujudkanpelbagai gudang senjata untuk Bridged Izzuddin al-Qassam yang mana sebahagian darisenjatanya dihasilkan sendiri.
Secara perlahan-lahan Ahmad al-Ja’bari menjadi permasalahanutama kepada Anggota Perisikan Israel (MOSSAD). Selain menjadi Ketua UmumKepimpinan Bridged Izzuddin al-Qassam, beliau juga merupakan orang yangbertanggungjawab dalam membersihkan Gaza dari agen-agen Pihak Berkuasa Palestinyang akhirnya menyebabkan Gaza terpisah dari Tebing Barat Sungai Jordan padatahun 2007. Selain itu, Ahmad al-Ja’bari juga bertindak sebagai perancangoperasi dan Perundingmewakili Hamas dalam proses pertukaran tawanan Palestin dengan tentera Israel,Gilad Shalit. Operasi ini dianggap sebagai satu kejayaan apabila 1027 orangtawanan Palestin berjaya dibebaskan sebagai ganti kepada hanya seorang tawananIsrael tersebut. Sebagai seorang ketua operasi Bridged Izzuddin Al-Qassam,Al-Ja’bari menjadi orang paling dikehendaki oleh Anggota Perisikan Israel(MOSSAD).
Ketika tenteraZionis Israel menyerang Bandar Gaza, Ahmad al-Ja’bari telah berjayamempersiapkan sebuah pasukannya menghadapi serangan dari Israel. Bukan itusahaja, malah beliau berjaya mematahkan pelbagai serangan Zionis Israel. Halini membuatkan MOSSAD bersungguh-sungguh merancang untuk membunuhnya.

Tidak dapatdinafikan, faktor persekitaran sangat-sangat membantu kelangsungan perjuanganAhmad al-Ja’bari. Kehidupannya dikelilingi oleh insan-insan yang berjiwapejuang dan merindukan syahid. Beliau adalah menantu kepada as-Syahid Abdul Azizar-Rantisi dan anaknya as-Syahid Muhammad al-Ja’bari merupakan menantu kepadaas-Syahid Solah Syahadah.
Rujukan : Aman Palestin


Haizun Ramli
Tahun 3 Pergigian
Jordan University of Science and Technology (JUST)

Monday 29 April 2013

Prinsip Asas Isu Palestin

DIPOS OLEH Unknown PADA 14:05



Bismillah, bila kita sebut isu Palestin, sudah tentu kita akan menggambarkan Gaza. Daripada situasi di Gaza sekarang ini, sudah tentu jauh di sudut hati kita berasa simpati dan kasihan terhadap umat islam di Gaza yang terpaksa berdepan dengan kezaliman Zionis yang berusaha menegakkan institusi negara Israel.


Daripada situasi ini juga lahir sifat baik dalam diri manusia yang tidak sama sekali mengiktiraf kezaliman yang telah di lakukan oleh Zionis Israel ke atas rakyat Palestin yang setiap hari ditindas secara kejam. Rakyat Palestin yang terdiri daripada kanak-kanak, wanita, orang tua dan orang kurang upaya semuanya dihukum secara kejam oleh tentera Zionis Israel.


Namun daripada kaca mata umat Islam yang bertunjangkan TAUHID, yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, perjuangan kita lebih luas daripada memperjuangkan isu hak asasi manusia ataupun rasa belas kasihan ke atas rakyat Palestin yang ditindas lalu kita berusaha membebaskan mereka daripada belenggu kesusahan tersebut. Prinsip kita apabila melihat isu Palestin adalah perjuangan aqidah. Perjuangan membebaskan Masjid Al-Aqsa kian pudar daripada hati umat Islam. Ini yang patut kita fokuskan bersama.

       Di sini saya meletakkan dua  prinsip  asas  yang perlu kita faham dan tanam dalam jiwa kita apabila melihat isu Palestin :

1)                 


Maha Suci Allah yang telah menjalankan HambaNya (Muhammad ) pada malam hari dari Masjid Al Haram (di Makkah) ke Masjid Al Aqsa (di Palestin ) ,yang kami berkati sekelilingnya,untuk memperlihatkan  kepadanya tanda –tanda (kekuasan dan kebesaran ) Kami. Sesusngguhnya Allah jua lah yang Maha Mendengar,Lagi Maha  Mengetahui.“ (Surah Al Isra’ ayat 1)

Menurut Dr Mustafa As Sibaie berkaitan ayat ini ,beliau mengulas  : -

“Ikatan antara Masjid Al Haram dengan Masjid Al Aqsa adalah ikatan antara kemuliaan dengan kemuliaan , Maka mereka yang duduk di Makkah adalah penduduk paling  mulia di muka bumi,kerana mereka lah yang menjaga  Ka’bah  sejak dari Zaman Nabi Ibrahim , dan Masjid Al Aqsa kemuliaannya adalah kerana tempat turunnya Risalah dan tempat berhimpunnya para nabi menyebarkan Risalah dalam satu tempoh yang panjang dalam sejarah . Maka ,wajib untuk kita memulakan proses pembebasan  dari  dua kawasan  ini (Makkah dan Palestin ) ,dan  bermula menggerakkan  iman dari kedua masjid ini ,untuk menyuluh muka bumi yang dalam keadaan sesat dan manusia yang  dalam keadaan leka  dengan CAHAYA IMAN DAN RISALAH ISLAM .“
                                                                                           (Dr Mustafa As Sibaie : Islam dan Palestin)

2)



“Dan Ingatlah ketika Nabi Ibrahim di uji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. Setelah itu Allah berfirman : Sesungguhnya Aku melantik mu menjadi Imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia , Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, Jadikanlah dari keturunanku (pemimpin pemimpin ) ,Allah berfirman : Permohonanmu di terima ,tetapi  janji Ku ini tidak akan di dapati oleh orang orang yang zalim “  (Surah Al Baqarah ayat 124) 

Maka teranglah apabila Allah menyebut  “janji Ku tidak akan di dapati oleh orang orang yang zalim ,“  Ia merujuk kepada orang Zionis Israel yang tidak beriman kepada Allah,tidak layak untuk menduduki tanah yang Allah berkati serta masjid yang suci itu . Maka siapa kah yang lebih layak untuk menduduki tanah Palestin dan menjaga  Masjid Al Aqsa ? sudah tentulah umat Islam kerana mereka beriman kepada Allah dan mentaati risalah para Rasul sejak Nabi Adam ,dan kita lah juga  yang beriman  dengan Risalah Nabi Ibrahim alaihi salam iaitu Islam

Sebagai penutup,

Wahai saudara saudaraku, sesungguhnya misi kita terhadap Palestin bukan lah misi yang kecil dan remeh, namun ia adalah misi aqidah, misi keimanan, misi men “tahkim syariah Allah “ di muka bumi yang berpusat di Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya. 

Maka, jadikanlah isu Palestin, isu yang mendarah daging dalam jiwa kita kerana kita sedang membebaskan tanah air kita juga. Allahu Akbar! 



Nabil Takiyuddin
Tahun 2 Ekonomi dan Perbankan Islam 

Universiti Yarmouk

Friday 26 April 2013

Ismail Haniyeh : Tokoh Wira Palestin

DIPOS OLEH Unknown PADA 12:12


ISMAIL HANIYEH DAN KONFLIK DALAMAN PALESTIN

Ismail Haniyeh lahir pada Januari 1963, (Bahasa Arab: إسماعيل هنية)  adalah pemimpin politik utama parti Hamas dan bekas Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin.

Haniyeh lahir di kem pelarian Al-Shati di Genting Gaza. Pada tahun 1948, ibu bapanya melarikan diri selepas serangan-serangan bom Israel dan tempat itu kini dikenali sebagai Ashkelon di Israel. Pada tahun 1987, Ismail mendapat ijazah kesusasteraan Arab dari Universiti Islam Gaza. Pada tahun 1989, dia dikurung selama 3 tahun oleh pihak keselamatan Israel dan dibebaskan pada tahun 1992. Selepas itu, beliau diusir dari Lubnan. Dia pulang ke Gaza dan dilantik sebagai dekan Universiti Islam.


Selepas Hamas merampas Gaza daripada Fatah pada 14 Jun 2007, beliau telah dipecat oleh Presiden Mahmoud Abbas. Sebenarnya Mahmoud Abbbas selaku Presiden Palestin, tidak mempunyai kuasa membubarkan kabinet Ismail Haniyeh. Oleh kerana itu, Ismail Haniyeh menolak pembubaran dan pemecatan itu kerana ianya tiada dalam perlembagaan.

Haniyeh dilantik sebagai Perdana Menteri  pada 16 Februari 2006  berikutan Hamas diubah dan dibentuk semula  selepas Hamas menang dalam Pilihan Raya Legislatif Palestin pada 25 Januari 2006. Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 29 Mac 2006. Kemudian beliau meletak jawatan pada 15 Februari 2007 untuk membentuk kerajaan perpaduan antara Hamas dan Fatah. Beliau sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Palestin pada 18 Mac 2007.

SIKAP PREJUDIS ISRAEL

Selepas pemimpin rohaniah Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan pada 1997, Ismail Haniyeh dilantik menjadi pengerusi Hamas. Israel mensasarkannya sebagai orang yang bertanggungjawab membunuh rakyat Israel.

Pada tahun 2003, beliau cedera di bahagian tangan selepas tentera udara Israel melepaskan tembakan di Baitulmaqadis. Serangan Israel ini berikutan tindakan pejuang Hamas meletupkan diri dan mencederakan warganegara Israel. Pengaruhnya semakin meningkat selepas Kebangkitan Intifada ke -2  terutama kerana hubungan erat dengan Syeikh Ahmed Yassin dan ramai pemimpin Hamas dibunuh oleh pihak keselamatan Israel.

Pada 30 Jun 2006, kerajaan Israel mengancam untuk membunuh Haniyeh jika militan Hamas tidak membebaskan Gilad Shalit. Gilad Shalit ialah tentera Israel yang telah menceroboh dan mengintip di kawasan Gaza. Gilad tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pada 20 Oktober 2006, Ismail Haniyeh mahu Fatah dan Hamas bersatu dan tidak bertempur sesama sendiri. Malam itu, Ismail Haniyeh terselamat daripada serangan ketika sedang dalam konvoi untuk menemui Mahmoud Abbas di Gaza. Serangan itu bukan satu pakatan bunuh, sebaliknya seorang anggota Fatah yang mengamuk selepas bertelingkah dengan Hamas.

Pada 14 Disember 2006, Ismail Haniyeh dilarang masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah, Mesir. Beliau dilarang masuk oleh Menteri Pertahanan Israel Amir Peretz. Anak sulung Haniyeh cedera ketika melintasi sempadan.

Israel menganggap Ismail Haniyeh sebagai merbahaya kerana tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel. Ismail Haniyeh juga enggan mematuhi syarat meletakkan senjata. Oleh itu, langkah sekatan ekonomi dilakukan. Kerajaan Israel enggan menyerahkan lebih  USD600  juta wang cukai milik sah warga Palestin di Gaza.

Ismail Haniyeh menjawab beliau dilantik secara demokrasi oleh warga Palestin dan Israel tidak sekali-kali boleh menekannya. Israel tidak sepatutnya memberi layanan berbeza. Peruntukan wang cukai itu adalah hak sah rakyat Palestin, bukan sedekah daripada Israel.

AMERIKA : SEBUAH KEZALIMAN ATAS NAMA DEMOKRASI

Amerika juga menganggap Hamas sebagai organisasi pengganas. Amerika mengarahkan agar 50 juta dolar tidak dikeluarkan dari bank-bank asing untuk membantu kerajaan Hamas di Palestin. Menteri Ekonomi Palestin, Mazen Sonokrot bersetuju memulangkan semula bantuan Amerika.

Ismail Haniyeh berkata,

"Pihak Barat sentiasa saja menggunakan wang bantuan kemanusiaan untuk menekan kembali penduduk Palestin yang dibantu."

Hamas mahu Israel terlebih dahulu mengiktiraf negara Palestin sebagaimana peta 1967, membebaskan banduan di penjara Israel, mengiktiraf hak pelarian untuk pulang ke Palestin. Jika tidak mereka akan terus berjihad sehingga Baitulmaqdis dibebaskan. Malangnya Israel terus menghalang penduduk Palestin untuk terus bekerja di tanah mereka, merampas tanah mereka dan melakukan pembunuhan demi pembunuhan.


KONKLUSI


Wahai ikhwah akhawat sekalian, lihatlah bagaimana seorang pemimpin ini mampu mendidik rakyatnya untuk terus berjuang menegakkan agama Allah. Pendiriannya yang tegas dalam mempertahankan hak rakyat Palestin dan seluruh umat islam seisinya sedikit sebanyak mampu menggentarkan musuh. Justeru, marilah kita berfikir sejenak apakah yang telah kita lakukan untuk Islam dalam keadaan umat yang semakin parah ini? 

Renung-renungkanlah.



Nasirah Noor Osman

Tahun 2 Bahasa Arab
Universiti Aali Al-Bayt

AL-AQSA KEPRIHATINAN BERSAMA