Tuesday 20 August 2013


      

        Masihkah kita ingat tentang tragedi hitam yang  pernah dilakukan ke atas Masjid Al-Aqsa suatu ketika dahulu? Ya. Tarikh 21 Ogos adalah tarikh keramat buat umat islam seluruh dunia kerana ia adalah peristiwa pencabulan ke atas masjid Al-Aqsa. Genap 44 tahun peristiwa ini berlaku. Ia bagaikan suatu penghinaan kepada umat Islam oleh Zionis Israel yang sudah bertahun-tahun lamanya menyimpan dendam terhadap umat Islam. Tragedi ini berlaku seusai umat Islam menyempurnakan solat subuh di Masjid Aqsa. Setelah menyedari kebakaran tersebut, pihak muslimin serta merta mendapatkan air dari perigi-perigi berdekatan masjid untuk memadamkan kebakaran tersebut. Malangnya, api yang marak menyebabkan sebahagian masjid telah terbakar.
Siapakah dalang di sebalik pembakaran Masjid Aqsa?


         Michael Dennis Rohan, seorang doktor perubatan yang berasal daripada Australia adalah orang yang bertanggungjawab di dalam peristiwa pembakaran Masjid Al-Aqsa. Dia adalah seorang ekstremis yahudi yang sangat membenci Islam. Persoalannya, adakah dia bertindak melakukan perbuatan terkutuk itu bersendirian? Jawapannya sudah tentu tidak. Dia telah dibantu oleh golongan kristian Zionis. Buktinya jelas dilihat tatkala mereka telah merancang pembakaran tersebut lebih awal lagi dengan menutup seluruh saluran paip air yang menuju ke Masjid Al-Aqsa. Tidak cukup dengan itu, pihak polis yang mengawal di sekitar Masjid Aqsa itu turut menghalang pasukan bomba dan warga Arab daripada memasuki kawasan masjid tersebut.
        Di sebalik kejadian pembakaran masjid ini, ada beberapa tujuan dan matlamat Yahudi yang mesti diketahui oleh umat Islam. Perbuatan jahat Yahudi ini dilaksanakan untuk memudahkan mereka meneruskan projek membina kuil Yahudi yang dikenali sebagai ‘Solomon Temple’ atau Haikal Sulaiman di dataran Baitul Maqdis. Di samping itu, Michael juga menyatakan bahawa dia tidak pernah menyesal dan berbangga atas perbuatannya itu kerana mendakwa bahawa dirinya telah diutus oleh Allah  untuk membakar masjid itu seperti yang dituntut oleh Yahudi dalam kitab Talmud.
        Ekoran daripada pembakaran tersebut, ia telah meninggalkan kesan yang sangat teruk terhadap Masjid Al-Aqsa. Kejadian tersebut telah menyebabkan kira-kira ¼ daripada kawasan masjid Al-Aqsa musnah dijilat api. Perbuatan jahat Yahudi ini juga telah menyebabkan tiga kawasan utama Masjid Al-Aqsa yang bersejarah iaitu Masjid Umar, Mimbar Salahuddin Al-Ayyubi dan Mihrab Zakaria telah musnah. Bukan itu sahaja, kebanyakan tingkap masjid hangus dijilat api serta perhiasan-perhiasan ayat al-Quran di dinding yang indah turut terbakar.

    
        Sandiwara Yahudi terus terserlah tatkala Mahkamah Israel mengadili kes pembakaran masjid ini. Perkara ini dilihat apabila penjenayah tersebut iaitu Michael, yang pada awalnya ditangkap telah dilepaskan semula oleh Mahkamah tersebut kerana kononnya dia didakwa mengalami masalah mental. Michael akhirnya hanya dikenakan tindakan arahan supaya  pulang ke negara asalnya iaitu Australia tanpa berhadapan dengan sebarang hukuman.
        Kesan daripada peristiwa tersebut, umat Islam seluruh dunia bangkit menyatakan kemarahan mereka dan melakukan protes bantahan terhadap pencabulan Masjid Al- Aqsa.Oleh yang demikian, atas desakan dari umat Islam, pihak PBB telah mengambil inisiatif dengan mengadakan sidang tergempar dan mengeluarkan Resolusi 271 yang mengutuk perbuatan jahat Israel serta menyeru kepada puak Zionis agar memberhentikan usaha mereka untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa. Selain itu juga, satu pertubuhan iaitu pertubuhan OIC yang dianggotai oleh 57 buah negara  telah ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin negara Islam untuk mencegah segala usaha jahat Yahudi terhadap Masjid Al Aqsa. Pihak OIC juga telah menjadikan isu Palestin ini sebagai isu utama umat Islam seluruh dunia dan semenjak daripada peristiwa ini, 21 Ogos 1969 telah diangkat sebagai Hari Memperingati Al-Quds sedunia.
         Hari ini genap 44 tahun peristiwa itu berlalu. Demikianlah kita melihat betapa liciknya perancangan Yahudi dalam usaha memusnahkan masjid ketiga suci umat Islam, Masjid Al-Aqsa. Fikirkanlah sekiranya ekstremis Yahudi ini meyakini bahawa kerja-kerja jenayah itu adalah perintah tuhan mereka, maka adakah umat Islam itu sendiri tidak menganggap tanggungjawab mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa adalah satu tuntutan agama dan tanda seseorang beriman kepada Allah? Ayuh sama-sama kita muhasabah di mana posisi kita di dalam menangani masalah umat sejagat ini. Semoga umat Islam sedar daripada lamunan mimpi yang panjang dan terus bangkit  dalam mempertahankan Al-Aqsa.

AL-AQSA KEPRIHATINAN BERSAMA