Monday 16 September 2013

Tragedi Penyembelihan Sabra dan Shatila

DIPOS OLEH Unknown PADA 07:55



Sabra dan Shatila adalah 2 daripada kem pelarian bagi rakyat Palestin yang terletak di Beirut, Lubnan. Kem pelarian ini wujud selepas peristiwa Nakbah Palestin pada tahun 1948.

Tanggal 16-18 September 1982 menyaksikan pembunuhan beramai-ramai pelarian Palestin di kem ini. Serangan bertubi-tubi dan tragis telah dilakukan oleh pengganas Zionis Israel atas arahan dalang yang terbesar; Menteri Pertahanan ketika itu iaitu Ariel Sharon.

 

Ariel Sharon telah mengambil kesempatan daripada krisis yang berlaku tehadap Milita Phalangist Kristian di Lubnan bagi menghapuskan pelarian Palestin yang terpaksa menumpang di Lubnan setelah dihalau ketika tragedi Nakbah 1948.


Apakah krisis yang berlaku ke atas milita Phalangist Kristian di Lubnan dan rentetan peristiwa?

Tanggal 11 September 1982 Menteri Pertahanan Ariel Sharon yang juga merupakan arkitek bagi penjajahan Israel ke atas Lubnan telah mengumumkan terdapat lebih kurang 2000 pengganas yang masih berada di sekitar kem pelarian di Beirut, Lubnan.

Penuh dengan rancangan yang rapi dan penuh dengan tipu daya, 3 hari selepas itu Presiden Lubnan yang juga merupakan Ketua Parti Phalangist Lubnan; Basher Gemayel telah terbunuh dalam letupan bom yang berlaku di ibu pejabatnya oleh sekumpulan bersenjata iaitu pada tanggal 14 September 1982.

Dengan alasan terdapatnya pengganas di sekitar kem pelarian di sekitar Beirut, Lubnan pada tanggal 15 September 1982 bermulalah pengepungan oleh tentera Zionis Israel dan laluan di kem Sabra dan Shatila telah ditutup.

Keesokan harinya 16 September 1982, Ariel Sharon dan Ketua Turus Tentera Israel telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Milita Phalangist Lubnan untuk menjemput mereka masuk ke kem Sabra dan Shatila untuk membersihkan ‘sarang pengganas’.

Serangan yang dilakukan selama 3 hari berturut-turUt (16- 18 September 1982) telah mengorbankan lebih kurang  3 500 orang pelarian Palestin.


 
 
Bagaimana serangan dilakukan?

Serangan pertama dilakukan apabila 1500 orang milita Phalangist yang masuk ke kawasan pelarian dengan menggunakan jip-jip yang dibekalkan oleh tentera Yahudi dan bersenjatakan senapang, pisau dan parang.
Mereka membunuh dan menyembelih pelarian yang terdapat di sana dan juga merogol kaum wanita tanpa belas kasihan.




Manakala tentera Zionis berkawal di luar kem pelarian untuk memastikan tiada siapa yang terlepas untuk lari dari kem tersebut. Dan pada sebelah malam pula tentera Yahudi menembak roket suluh (flares) ke atas kem pelarian bagi meneranginya. Ini adalah untuk memudahkan kerja-kerja ‘penghapusan pengganas’ oleh Phalangist Milita diselesaikan.

Dan pembunuhan demi pembunuhan telah dilakukan sehingga 18 September 1982. Pada hri tersebut barulah Phalangist Milita meninggalkan kem pelarian tersebut. Dan pada hari itu jugalah (18 September 1989; selepas pembunuhan puas dilakukan), baru masyarakat dunia mengetahui hal tersebut.





Saturday 14 September 2013

Perjanjian Oslo 1993

DIPOS OLEH Unknown PADA 23:04




          Perjanjian Oslo, secara rasminya merujuk kepada Declaration of Principles on interim Self-Government Arrangements (Deklarasi Prinsip-Prinsip Ke Atas Persediaan Pemerintahan Sendiri Sementara) atau ringkasnya Declaration of Principles (DOP). Persetujuan muktamad diterima di Oslo, Norway pada 20 Ogos 1993 setelah ditandatangani secara rasmi dalam satu majlis umum di Washington D.C pada 13 September 1993. Perjanjian ini ditandatangani oleh Mahmoud Abbas bagi pihak Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Shimon Peres bagi pihak Israel.

          Turut menyaksikan perjanjian ini ialah Warren Cristopher dari Amerika Syarikat dan Andrei Kozyrev dari Rusia dengan kehadiran Bill Clinton (Presiden Amerika Syarikat), Yasir Arafat (Pengerusi PLO) dan Yitzhak Rabin (Perdana Menteri Israel). Antara kandungan perjanjian ialah :

1. Rakyat Palestin diberikan pemerintahan autoriti di kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

2. Sebelum bermula pemerintahan autoriti pada tahun ke-3, sempadan kawasan akan diadakan bagi kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Ia akan menjadi sempadan kekal berdasarkan Resolusi Majlis Keselamatan PBB (resolusi 242 dan resolusi 338).

3. Dalam tempoh 2 bulan selepas perjanjian ini dimeterai, kerajaan Israel akan mengundurkan askarnya dari kawasan Semenanjung Gaza dan kawasan Jericho.

4. Selepas 9 bulan pemerintahan autoriti berjalan, satu pilihanraya umum mesti diadakan bagi memilih Pihak Berkuasa Palestin(PA). Pihak PA Cuma mempunyai kuasa memerintah di kawasan yang diberi autonomi sahaja. Sebaik sahaja pilihanraya umum diadakan, tentera Israel mesti berundur dari penempatan rakyat Palestin.

5. Kerajaan yang diterajui pihak PA cuma mempunyai kuasa memerintah kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sahaja. Pihak PA tidak boleh membina kekuatan dan senjata bagi menangkis ancaman dan serangan dari luar. Pihak PA tidak mempunyai kuasa di kawasan penempatan Israel di kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Pihak PA juga tidak mempunyai hak ke atas Baitulmuqaddis dan Masjidil Aqsa.

6. Kerajaan Israel mempunyai kuasa veto untuk membatalkan apa-apa keputusan yang dibuat oleh Majlis Legislatif PA.

7. Apa yang tidak dapat diselesaikan melalui perjanjian damai mesti diselesaikan melalui rundingan bersama.

8. Penyerahan kuasa akan dilakukan secara berperingkat.

9. Pihak PA tidak akan dilabel sebagai pengganas kerana mereka menjaga keamanan rakyat Palestin.

          Pihak PA bertanggungjawab menghalang apa sahaja usaha bersenjata ke atas rakyat Israel dan askarnya daripada pihak rakyat Palestin. Perjanjian Oslo adalah kemuncak kepada siri-siri persetujuan yang dibuat secara rahsia dan terbuka, yang dapat dikesan bermula dengan Persidangan Madrid, 1991 dan dirundingkan di antara PLO dan Israel sebagai sebahagian daripada ‘Proses Damai’ untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel. Namun, erti kata damai tidak pernah terzahir melalui perjanjian tersebut. Malah rejim Yahudi sedang menyusun strategi yang sangat terperinci untuk terus merampas bumi Palestin.

          Kandungan perjanjian jelas menunjukkan keuntungan yang menyebelahi mereka. Namun, dikaburi dengan beberapa keterangan yang kelihatan membawa kepada perdamaian. Pada hakikatnya, mereka tidak pernah mematuhi isi kandungan perjanjian yang memihak kepada keuntungan rakyat Palestin. Dengan adanya perjanjian ini bermakna rakyat Palestin telah kehilangan 77 peratus bumi Palestin dan kuasa pemerintahan rakyat Palestin dihadkan semaksimum mungkin. Mereka cuma dapat memerintah kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sahaja. Selain itu, perjanjian ini memberikan ruang yang cukup luas kepada kerajaan Israel untuk meluaskan penempatan mereka di kawasan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

          Menjelang tahun 2000, bilangan penduduk Yahudi di Tebing Barat mencecah 200,000 orang penduduk. Tambahan lagi, termeterainya perjanjian yang berat sebelah ini juga menyebabkan rakyat Palestin tidak mempunyai senjata jika diserang oleh tentera Israel. Menteri Infrastruktur ketika itu, iaitu Ariel Sharon mengarahkan agar semua sumber air di Tebing Barat diletakkan di bawah pengawasan kementeriannya. Tindakan tersebut secara terang mencabul hak rakyat Palestin yang diperuntukkan kepada Pihak Berkuasa Palestin.



          Ternyata Perjanjian Oslo hanyalah tipu muslihat mereka. Ianya tidak lain, hanyalah cara untuk menghalalkan penindasan melalui ‘undang-undang’ dan perjanjian yang dipersetujui oleh pemimpin Palestin yang merupakan boneka rejim Yahudi. Jika diselongkar, terlalu banyak kekejaman yang menimpa rakyat Palestin berselindung di sebalik Perjanjian Oslo. Hal ini memberi pengajaran kepada umat Islam agar terus berhati-hati dengan tipu muslihat Yahudi dan sentiasa meletakkan langkah berjaga-jaga ketika berhadapan dengan mereka.

Sumber rujukan :
http://sautulhaqq.blogspot.com
http://palestinefolder.blogspot.com
http://www.aqsasyarif.org.my

AL-AQSA KEPRIHATINAN BERSAMA