Monday 6 May 2013



Apakah maksud di sebalik perkataan “baarakna”? “Baarakna” bermaksud “yang telah Kami berkati”, telah disebut sebanyak enam kali di dalam Al-Quran. Terdapat mesej penting yang ingin disampaikan kepada umat manusia seluruhnya melalui ayat-ayat ini. Sebelum itu, mari sama-sama kita lihat satu-persatu ayat yang mengandungi kalimah “baarakna” ini.

1)
A137

Maksudnya : Dan Kami pusakakan kepada kaum yang telah ditindas itu, negeri-negeri bahagian timur bumi dan bahagian baratnya yang telah Kami beri berkah padanya. Dan telah sempurnalah perkataan Tuhanmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israil disebabkan kesabaran mereka. Dan Kami hancurkan apa yang telah dibuat Firaun dan kaumnya dan apa yang telah dibangun mereka. (Surah Al-A’raf 7 : 137)

2)
A001
Maksudnya : Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Isra’ 17 : 1)

3)
A071
     

Maksudnya : Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia. (Surah Al-Anbiya’ 21 : 71)

4)
A081
Maksudnya : Dan (telah Kami tundukkan) untuk Sulaiman angin yang sangat kencang tiupannya yang berhembus dengan perintahnya ke negeri yang Kami telah memberkatinya. Dan adalah Kami Maha Mengetahui segala sesuatu. (Surah Al-Anbiya’ 21 : 81)

5)
A018 

Maksudnya : Dan di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): " Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman". (Surah Saba’ 34 : 18)

6)
A113
     
Maksudnya : Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri. (As-Soffat 37 : 113)

Negeri Syam merupakan kawasan yang diberkati oleh Allah berbanding dengan kawasan-kawasan lain di dunia keseluruhannya. Syam yang terdiri daripada beberapa buah negara iaitu Palestin, Jordan, Lubnan dan Syria merupakan tanah yang diberkatiNya sepanjang zaman. Bangsa Arab yang terkenal dengan ketegasan dan keberaniannya, di mana para rasul dan nabi dilantik daripada kalangan mereka, telah terpilih untuk mendudukinya. Namun sayangnya, kita dapat lihat tiada lagi keamanan dan ketenangan di negara-negara tersebut. Hak-hak umat Islam diperkotak-katikkan, umat Islam dibunuh dengan kejamnya tanpa belas kasihan sedikitpun oleh musuh-musuh Allah.
Nasib umat Islam masih belum terbela, keadaan menjadi semakin genting dan musuh-musuh Islam masih berusaha untuk menjatuhkan serta menghancurkan Islam. Umat Islam menjadi semakin lemah dari hari ke hari. Di manakah umat Islam yang lain? Hanya memandang sepi dan tidak merasai mereka adalah sebahagian daripada kita? Menjadi tanggungjawab kepada kita semua untuk menjadi ejen dalam usaha untuk membebaskan negara-negara Islam daripada terus terjajah dari segi kenegaraan mahupun ekonomi dan pemikiran. Kekuatan itu tidak akan datang sekiranya kita hanya sibuk dengan kehidupan sendiri tanpa berusaha memperbaiki dan mempersiapkan diri ke arah yang lebih baik.
Jelaslah bagi umat Islam, menjadi keperluan untuk mengambil tahu tentang keadaan saudara-saudara seislam kita di negara-negara ini terutamanya setelah apa yang berlaku di Palestin dan juga Syria. Cakna tentang keadaan saudara kita di Palestin, Syria dan negara-negara Islam yang lain merupakan perkara asas yang boleh kita lakukan. Mereka memerlukan bantuan daripada kita semua. Berjuanglah kalian dalam keadaan ringan mahupun berat, korbankan harta dan jiwamu untuk mereka. Sekiranya mereka berjuang dengan darah, bagaimana pula kita? Mereka memperoleh syahid di jalanNya, tetap hidup di sisi Yang Maha Esa.
Mulakan dengan diri sendiri, memperbaiki kelemahan diri. Di samping itu, berusahalah sama-sama dengan menegakkan islam dalam diri, amar makruf dan nahi mungkar. Menggunakan harta yang ada untuk sama-sama menyumbang kepada umat Islam yang memerlukan. Bukan balasan dunia yang diidamkan, tetapi ganjaran dan rahmat Allah yang hakiki diharapkan. Suatu masa nanti, Islam pasti tertegak. Tidak kira bila masanya akan tiba, biarlah kita turut mengerah tenaga dalam usaha untuk ke arah itu. Jadilah kalian tentera-tentera Allah yang dirindui oleh penduduk langit dan bumi!


Nurul Afiqah Ibrahim
Tahun 2 Perubatan
Jordan University of Science and Technology (JUST) 


0 comments:

Post a Comment

AL-AQSA KEPRIHATINAN BERSAMA