Saturday 23 March 2013

Syeikh Ahmad Yassin : Jiwa Pembebas Palestin

DIPOS OLEH Unknown PADA 00:48

Seringkali kita mengagumi seorang penyanyi yang merdu suaranya, seorang  tukang masak yang hebat masakannya. Namun, harus juga bagi kita untuk tidak lupa kepada seorang tokoh mujahid yang amat mahsyur dalam perjuangan membebaskan tanah mulia Palestin.

Sudah genap 9 tahun, As Syahid  Sheikh Ahmad Yassin telah meninggalkan kita semua. Namun, peninggalannya tidak kosong. Kepergian jasadnya telah meninggalkan impak yang besar dalam diri setiap insan yang hatinya basah untuk merasai kehebatan Allah yang menciptakan insan secekal beliau.



Seorang tokoh yang mempunyai semangat juang yang sangat tinggi, yang sanggup berkorban dan yang tidak pernah kenal erti putus asa. Walaupun ditakdirkan Allah untuk lumpuh  sepanjang masa mudanya sehinggalah saat kematiannya, duduk di kerusi rodanya, ditangkap dan dipenjarakan, perkara ini tidak pernah menghalang As-Syahid untuk tidak mengambil bahagian dalam urusan dakwah dan pembebasan Palestin. Keberjayaannya dalam menubuhkan HAMAS dan kader-kader pejuang Palestin jelas terbukti kesungguhan dan kecekalannya.

Apa pula alasan kita yang sempurna tubuh badan untuk masih bermalas-malasan menunaikan solat subuh berjemaah di masjid, menunaikan solat di awal waktu dan dalam skop yang lebih besar lagi, menyebarkan risalah suci kepada seluruh manusia yang merupakan sunnah terbesar Nabi Muhammad S.A.W?


Tidaklah dilupakan seorang yang telah meninggal dunia melainkan peribadi-peribadi dan sifatnya yang memberi kesan yang berterusan dalam sanubari insan-insan lain walaupun jasad beliau telah hilang dari bumi. Begitulah kita sebagai seorang khalifah di dunia ini, sepatutnya memandang mujahid Islam dengan perasaan cemburu dan iri hati kerana kesyahidan dan kehebatan peribadi beliau dan berusaha kearah pemantapan diri menjadi seorang hamba yang mempunyai peribadi yang tinggi, bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan menyedari hakikat kehidupan ini. Sesungguhnya sifat-sifat seorang insan seperti inilah yang harus kita jadikan ikutan dan idola kita dalam menjayakan misi dakwah kita di alam ini.

Sedarilah wahai anak muda, usia mudamu inilah masa untuk mengerah tenaga, masa untuk melakukan aktiviti yang berfaedah, nikmat kesihatan digunakan untuk menyebarkan risalah Islam dan ilmu dicari untuk diamal dan disebarkan.

Wallahu’alam.


0 comments:

Post a Comment

AL-AQSA KEPRIHATINAN BERSAMA