Apakah maksud
di sebalik perkataan “baarakna”? “Baarakna” bermaksud “yang telah Kami
berkati”, telah disebut sebanyak enam kali di dalam Al-Quran. Terdapat mesej
penting yang ingin disampaikan kepada umat manusia seluruhnya melalui ayat-ayat
ini. Sebelum itu, mari sama-sama kita lihat satu-persatu ayat yang mengandungi
kalimah “baarakna” ini.
1)
Maksudnya :
Dan Kami pusakakan kepada kaum yang telah ditindas itu, negeri-negeri bahagian
timur bumi dan bahagian baratnya yang telah Kami beri berkah padanya. Dan telah
sempurnalah perkataan Tuhanmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israil
disebabkan kesabaran mereka. Dan Kami hancurkan apa yang telah dibuat Firaun
dan kaumnya dan apa yang telah dibangun mereka. (Surah
Al-A’raf 7 : 137)
2)
Maksudnya : Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya
(Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di
Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya
tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Isra’ 17 :
1)
3)
Maksudnya
: Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami
limpahkan berkat padanya untuk umat manusia. (Surah Al-Anbiya’ 21 : 71)
4)
Maksudnya : Dan (telah
Kami tundukkan) untuk Sulaiman angin yang sangat kencang tiupannya yang
berhembus dengan perintahnya ke negeri yang Kami telah memberkatinya. Dan
adalah Kami Maha Mengetahui segala sesuatu. (Surah Al-Anbiya’ 21
: 81)
5)
Maksudnya : Dan di antara tempat tinggal mereka
(di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami
limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), Kami adakan beberapa buah
bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu), dan
Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan
tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): "
Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam
dan siang, dalam keadaan yang aman". (Surah Saba’ 34 : 18)
6)
Maksudnya
: Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara
zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang
berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri. (As-Soffat 37 : 113)
Negeri Syam merupakan kawasan yang diberkati oleh Allah berbanding
dengan kawasan-kawasan lain di dunia keseluruhannya. Syam yang terdiri daripada
beberapa buah negara iaitu Palestin, Jordan, Lubnan dan Syria merupakan
tanah yang diberkatiNya sepanjang zaman. Bangsa Arab yang terkenal dengan
ketegasan dan keberaniannya, di mana para rasul dan nabi dilantik daripada
kalangan mereka, telah terpilih untuk mendudukinya. Namun sayangnya, kita dapat
lihat tiada lagi keamanan dan ketenangan di negara-negara tersebut. Hak-hak
umat Islam diperkotak-katikkan, umat Islam dibunuh dengan kejamnya tanpa belas
kasihan sedikitpun oleh musuh-musuh Allah.
Nasib umat Islam masih belum terbela, keadaan menjadi semakin genting
dan musuh-musuh Islam masih berusaha untuk menjatuhkan serta menghancurkan
Islam. Umat Islam menjadi semakin lemah dari hari ke hari. Di manakah umat Islam
yang lain? Hanya memandang sepi dan tidak merasai mereka adalah sebahagian
daripada kita? Menjadi tanggungjawab kepada kita semua untuk menjadi ejen dalam
usaha untuk membebaskan negara-negara Islam daripada terus terjajah dari segi
kenegaraan mahupun ekonomi dan pemikiran. Kekuatan itu tidak akan datang
sekiranya kita hanya sibuk dengan kehidupan sendiri tanpa berusaha memperbaiki
dan mempersiapkan diri ke arah yang lebih baik.
Jelaslah bagi umat Islam, menjadi keperluan untuk mengambil tahu tentang
keadaan saudara-saudara seislam kita di negara-negara ini terutamanya setelah
apa yang berlaku di Palestin dan juga Syria. Cakna tentang keadaan saudara kita
di Palestin, Syria dan negara-negara Islam yang lain merupakan perkara asas yang
boleh kita lakukan. Mereka memerlukan bantuan daripada kita semua. Berjuanglah
kalian dalam keadaan ringan mahupun berat, korbankan harta dan jiwamu untuk
mereka. Sekiranya mereka berjuang dengan darah, bagaimana pula kita? Mereka
memperoleh syahid di jalanNya, tetap hidup di sisi Yang Maha Esa.
Mulakan dengan diri sendiri, memperbaiki kelemahan diri. Di samping itu,
berusahalah sama-sama dengan menegakkan islam dalam diri, amar makruf dan nahi
mungkar. Menggunakan harta yang ada untuk sama-sama menyumbang kepada umat
Islam yang memerlukan. Bukan balasan dunia yang diidamkan, tetapi ganjaran dan
rahmat Allah yang hakiki diharapkan. Suatu masa nanti, Islam pasti tertegak.
Tidak kira bila masanya akan tiba, biarlah kita turut mengerah tenaga dalam
usaha untuk ke arah itu. Jadilah kalian tentera-tentera Allah yang dirindui
oleh penduduk langit dan bumi!
Nurul Afiqah Ibrahim
Tahun 2 Perubatan
Jordan University of Science and Technology (JUST)
0 comments:
Post a Comment