Friday, 26 April 2013

Ismail Haniyeh : Tokoh Wira Palestin

DIPOS OLEH Unknown PADA 12:12


ISMAIL HANIYEH DAN KONFLIK DALAMAN PALESTIN

Ismail Haniyeh lahir pada Januari 1963, (Bahasa Arab: إسماعيل هنية)  adalah pemimpin politik utama parti Hamas dan bekas Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin.

Haniyeh lahir di kem pelarian Al-Shati di Genting Gaza. Pada tahun 1948, ibu bapanya melarikan diri selepas serangan-serangan bom Israel dan tempat itu kini dikenali sebagai Ashkelon di Israel. Pada tahun 1987, Ismail mendapat ijazah kesusasteraan Arab dari Universiti Islam Gaza. Pada tahun 1989, dia dikurung selama 3 tahun oleh pihak keselamatan Israel dan dibebaskan pada tahun 1992. Selepas itu, beliau diusir dari Lubnan. Dia pulang ke Gaza dan dilantik sebagai dekan Universiti Islam.


Selepas Hamas merampas Gaza daripada Fatah pada 14 Jun 2007, beliau telah dipecat oleh Presiden Mahmoud Abbas. Sebenarnya Mahmoud Abbbas selaku Presiden Palestin, tidak mempunyai kuasa membubarkan kabinet Ismail Haniyeh. Oleh kerana itu, Ismail Haniyeh menolak pembubaran dan pemecatan itu kerana ianya tiada dalam perlembagaan.

Haniyeh dilantik sebagai Perdana Menteri  pada 16 Februari 2006  berikutan Hamas diubah dan dibentuk semula  selepas Hamas menang dalam Pilihan Raya Legislatif Palestin pada 25 Januari 2006. Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 29 Mac 2006. Kemudian beliau meletak jawatan pada 15 Februari 2007 untuk membentuk kerajaan perpaduan antara Hamas dan Fatah. Beliau sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Palestin pada 18 Mac 2007.

SIKAP PREJUDIS ISRAEL

Selepas pemimpin rohaniah Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan pada 1997, Ismail Haniyeh dilantik menjadi pengerusi Hamas. Israel mensasarkannya sebagai orang yang bertanggungjawab membunuh rakyat Israel.

Pada tahun 2003, beliau cedera di bahagian tangan selepas tentera udara Israel melepaskan tembakan di Baitulmaqadis. Serangan Israel ini berikutan tindakan pejuang Hamas meletupkan diri dan mencederakan warganegara Israel. Pengaruhnya semakin meningkat selepas Kebangkitan Intifada ke -2  terutama kerana hubungan erat dengan Syeikh Ahmed Yassin dan ramai pemimpin Hamas dibunuh oleh pihak keselamatan Israel.

Pada 30 Jun 2006, kerajaan Israel mengancam untuk membunuh Haniyeh jika militan Hamas tidak membebaskan Gilad Shalit. Gilad Shalit ialah tentera Israel yang telah menceroboh dan mengintip di kawasan Gaza. Gilad tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pada 20 Oktober 2006, Ismail Haniyeh mahu Fatah dan Hamas bersatu dan tidak bertempur sesama sendiri. Malam itu, Ismail Haniyeh terselamat daripada serangan ketika sedang dalam konvoi untuk menemui Mahmoud Abbas di Gaza. Serangan itu bukan satu pakatan bunuh, sebaliknya seorang anggota Fatah yang mengamuk selepas bertelingkah dengan Hamas.

Pada 14 Disember 2006, Ismail Haniyeh dilarang masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah, Mesir. Beliau dilarang masuk oleh Menteri Pertahanan Israel Amir Peretz. Anak sulung Haniyeh cedera ketika melintasi sempadan.

Israel menganggap Ismail Haniyeh sebagai merbahaya kerana tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel. Ismail Haniyeh juga enggan mematuhi syarat meletakkan senjata. Oleh itu, langkah sekatan ekonomi dilakukan. Kerajaan Israel enggan menyerahkan lebih  USD600  juta wang cukai milik sah warga Palestin di Gaza.

Ismail Haniyeh menjawab beliau dilantik secara demokrasi oleh warga Palestin dan Israel tidak sekali-kali boleh menekannya. Israel tidak sepatutnya memberi layanan berbeza. Peruntukan wang cukai itu adalah hak sah rakyat Palestin, bukan sedekah daripada Israel.

AMERIKA : SEBUAH KEZALIMAN ATAS NAMA DEMOKRASI

Amerika juga menganggap Hamas sebagai organisasi pengganas. Amerika mengarahkan agar 50 juta dolar tidak dikeluarkan dari bank-bank asing untuk membantu kerajaan Hamas di Palestin. Menteri Ekonomi Palestin, Mazen Sonokrot bersetuju memulangkan semula bantuan Amerika.

Ismail Haniyeh berkata,

"Pihak Barat sentiasa saja menggunakan wang bantuan kemanusiaan untuk menekan kembali penduduk Palestin yang dibantu."

Hamas mahu Israel terlebih dahulu mengiktiraf negara Palestin sebagaimana peta 1967, membebaskan banduan di penjara Israel, mengiktiraf hak pelarian untuk pulang ke Palestin. Jika tidak mereka akan terus berjihad sehingga Baitulmaqdis dibebaskan. Malangnya Israel terus menghalang penduduk Palestin untuk terus bekerja di tanah mereka, merampas tanah mereka dan melakukan pembunuhan demi pembunuhan.


KONKLUSI


Wahai ikhwah akhawat sekalian, lihatlah bagaimana seorang pemimpin ini mampu mendidik rakyatnya untuk terus berjuang menegakkan agama Allah. Pendiriannya yang tegas dalam mempertahankan hak rakyat Palestin dan seluruh umat islam seisinya sedikit sebanyak mampu menggentarkan musuh. Justeru, marilah kita berfikir sejenak apakah yang telah kita lakukan untuk Islam dalam keadaan umat yang semakin parah ini? 

Renung-renungkanlah.



Nasirah Noor Osman

Tahun 2 Bahasa Arab
Universiti Aali Al-Bayt

0 comments:

Post a Comment

AL-AQSA KEPRIHATINAN BERSAMA