Tuesday, 16 April 2013

Perjuangan As-Syahid Dr Abdul Aziz Al-Rantisi

DIPOS OLEH Unknown PADA 21:43

Seraut wajah itu masih kukuh dalam ingatan umat Islam. Semangat yang tidak pernah pudar dalam mempertahankan Palestin yang dicintainya. Bukan sahaja merupakan pejuang tanah air, beliau juga adalah seorang doktor pakar kanak-kanak yang hebat. Beliau ialah Asy-Syahid Dr Abdul Aziz al-Rantisi, merangkap pembantu Syeikh Ahmad Yassin yang terlebih dahulu pergi menghadap Pencipta dan memperoleh kemenangan syahid.

Dr Abdul Aziz Al-Rantisi pergi menghadap ilahi selepas beberapa bulan kesyahidan Syeikh Ahmad Yassin. Jika Sheikh Ahmad Yassin terbunuh selepas melangkah keluar dari masjid menunaikan solat subuh, Dr Abdul Aziz Al-Rantisi pula syahid setelah solat maghrib di Masjid Al-Ghafri, utara Gaza. Pada 17 April 2004, umat Islam menerima berita kesyahidan pemimpin yang sangat disegani, Dr Abdul Aziz Al-Rantisi telah dibedil oleh helikopter Apache milik zionis, yang turut menyerang Syeikh Ahmad Yassin beberapa bulan sebelumnya. Kata-kata yang masih tergiang-giang hingga kini dalam kalangan umat Islam, kata-kata yang keluar daripada bibir pejuang agama Allah,

“Semua orang akan mati, mengapa takut dengan kematian. Jika saya diberikan pilihan samada untuk mati dibedil oleh helikopter Apache (milik tentera Zionis) ataupun akibat serangan jantung, saya memilih (untuk dibedil) oleh Apache”.

Sesungguhnya kemenangan itu milik beliau, Allah memakbulkan harapan dan doa yang beliau impikan. Seorang pejuang agama Allah yang berhati luhur dan kental dalam apa jua keadaan. Semangat itu terus segar dalam ingatan ummat Islam.

Sedikit maklumat berkenaan latar belakang beliau. Dr Abdul Aziz al-Rantisi dilahirkan pada tahun 1947 di sebuah kampung bernama Binaa yang terletak di antara Asqalan dan Jaffa di dalam sebuah keluarga yang kuat beragama. Selepas peperangan 1948, keluarganya dipaksa untuk berhijrah ke Gaza dan seterusnya menetap di khemah pelarian Khan Yunus bersama para puluhan ribu pelarian yang lain. Ketika itu usianya hanya enam bulan. Beliau membesar bersama sebelas orang adik beradiknya yang terdiri daripada sembilan lelaki dan dua orang perempuan.

Beliau menjalani hidup sebagai pelajar perubatan di Universiti Iskandariah di Mesir bermula pada tahun 1965 hingga 1972 dengan cemerlangnya. Seterusnya pada tahun 1976, beliau menyambung pelajarannya di peringkat sarjana dalam bidang Pediatrik dan memulakan kerja sebagai seorang doktor perubatan di Hospital Nasir yang menjadi pusat perubatan utama di kawasan Khan Yunus ketika itu. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Gaza bermula tahun 1978.

Keterlibatannya dalam perjuangan Islam bermula semenjak beliau menuntut di Universiti Iskandariah lagi. Bersama-sama dengan rakan seperjuangan beliau mengasaskan Gerakan HAMAS pada tahun 1987. Dr Abdul Aziz Al-Rantisi telah beberapa kali ditangkap dan dipenjarakan. Namun, beliau tidak pernah sekali-kali berhenti dan mengalah. Beliau sentiasa menjadi sasaran tentera Israel pada ketika itu. Selepas kesyahidan syeikh Ahmad Yassin pada 22 Mac 2004, Dr Abdul Al-Rantisi dilantik sebagai pemimpin HAMAS bagi meneruskan perjuangan mempertahankan Palestin.

Pada hari sabtu, 17 April 2004, beliau pergi meninggalkan umat Islam buat selamanya. Semangat yang ditunjukkan oleh beliau menjadi pemangkin untuk pejuang-pejuang Palestin meneruskan usaha dalam membebaskan tanah air daripada pencerobohan Zionis. Sembilan tahun beliau meninggalkan kita dengan sebuah perjuangan yang cukup kental, perjuangan yang perlu diteruskan oleh generasi kini. Ayuh sama-sama kita berusaha menghidupkan Islam dalam diri dan kehidupan seharian, melambangkan peribadi muslim yang terbaik. Dr Abdul Aziz Al-Rantisi, kami bakal menyusulimu!



Nurul Afiqah Ibrahim
Tahun 2 Perubatan 
Jordan University of Science and Technology (JUST)

Monday, 8 April 2013


       


Tarikh 9 April telah menjadi satu tarikh yang paling hitam dan sukar dilupakan oleh orang Islam, apatah lagi bagi penduduk Palestin yang mengalaminya.


Sekitar jam 4.30 pagi hari jumaat 9 April 1948, sekumpulan pengganas zionis Haganah telah mensasarkan 33 orang Palestin yang ingin menghadiri sebuah majlis perkahwinan di sepanjang tembok bangunan. Kesemua mangsa telah syahid termasuk pasangan pengantin tersebut. Mereka kemudiannya ditembak tanpa belas kasihan oleh kumpulan zionis berkenaan.

Di manakah Deir Yassin?



Deir Yassin dahulunya adalah sebuah perkampungan kecil orang-orang Palestin yang terletak di sebelah barat wilayah Baitul Maqdis. Deir Yassin terletak kira-kira 1400 meter di utara Yad Vashem, sebuah tugu peringatan Holocaust yang paling terkenal di mana Yahudi Zionis telah mengajar dunia agar “Tidak Akan Lupa” terhadap Holocaust.

Apa yang berlaku pada 9 April 1948?


Pada malam 9 April 1948, penduduk desa Deir Yassin dikejutkan dengan perintah yang keluar dari corong-corong pembesar suara supaya mereka untuk  mengosongkan kampung mereka. Sebelum mereka mengetahui dan memahami apa yang berlaku, mereka telah dibunuh terlebih dahulu oleh kumpulan pengganas Yahudi Zionis dari kumpulan Stern, Irgun dan Haganah. Terdapat seorang kanak-kanak yang berumur 12 tahun ketika itu hidup untuk menceritakan pengalaman ngeri yang disaksikan dengan mata kepalanya sendiri. Dia telah terselamat kerana dilindungi oleh mayat-mayat ahli keluarganya. Beliau juga telah melihat sendiri bagaimana adik perempuannya yang berusia 4 tahun bersepai kepalanya ditembak oleh pengganas-pengganas tersebut.


Pada permulaan serangan penduduk kampung berjaya membunuh 4 orang pengganas Zionis dan mencederakan 40 yang lain, akan tetapi pengganas dengan bantuan pasukan Palmach - "Pasukan elit (strike force) berpengkalan di Haganah, merupakan pasukan bawah tanah komiti Zionis Israel semasa pemerintahan British di Palestin"  melancarkan peluru mortar ke arah kampung bagi memudahkan tugas penyerang menyebabkan mereka kalah.

Pada petangnya, kampung menjadi benar-benar bebas daripada sebarang penentangan. Pengganas Argon dan Stern mengambil keputusan menggunakan dinamit serta memusnahkan satu-persatu rumah penduduk Palestin sehingga menjadikan kampung tersebut bersih dari unsur-unsur penentangan dan mereka boleh menembak semua yang bergerak sama ada lelaki, wanita, kanak-kanak dan orang tua.
                                                  
Peta Deir Yassin

Kontraktor Deir Yassin


Sesungguhnya, pembunuhan yang paling kejam itu telah diketuai oleh seorang pemimpin kumpulan Zionis “Argon”, Menachem Begin, iaitu Perdana Menteri Israel. Beliau dengan megahnya mengatakan dalam catatannya “Tanpa Deir Yassin, tidak akan ada Negara Israel.”

Tindakan biadap kumpulan Haganah disempurnakan oleh Irgun yang dipimpin oleh tak lain dan tak bukan Menachem Begin. Dia bersama rakan-rakan remajanya, lelaki dan perempuan melakukan ‘operasi pembersihan’ ke atas Deir Yassin. Para doktor dari Persatuan Palang Merah menyaksikan bagaimana para remaja ini memastikan tidak ada yang hidup dengan membunuh sesiapa sahaja yang masih bergerak dengan sub mesin gun, bayonet dan pisau. Cara pembunuhan mereka tidak pernah dilakukan di dalam sejarah iaitu dengan menghiris mangsa dari hujung kepala ke hujung kaki dan membiarkan mereka mati dengan penuh seksa.
                          


                                                         Menachem Begin

Sehari berpuluh-puluh mangsa kekejaman pengganas Zionis Israel akan diletakkan ke dinding rumah sebelum ditembak mati dan ia berlaku selama 2 hari berturut-turut, melakukan segala bentuk kekejaman yang terlalu sadis (penyeksaan serangan, amputasi, penyembelihan wanita hamil dan mengeluarkan janin), melempar lebih dari 53 kanak-kanak yang hidup ke dindingkota lama Baitul Maqdis. Seramai 25 lelaki Palestin diarak mengelilingi kota Baitul Maqdis sebagai tanda kemenangan kemudiannya ditembak mati oleh skuad penembak. Selepas itu, mayat dibuang di dalam perigi-perigi kampung untuk menutup jenayah mereka, menghalang wakil Palang Merah Jacques de Rainier daripada memasuki perkampungan tersebut selama lebih daripada satu hari. Sementara ahli-ahli Haganah, mengumpul mayat-mayat dan meletupkan mereka bagi mengelirukan wakil-wakil badan-badan antarabangsa bahawa mangsa terbunuh semasa pertempuran bersenjata. Hakikatnya, utusan Palang Merah menemui mayat-mayat yang dibuang ke dalam perigi selepas itu.

Inilah antara salah satu kekejaman Zionis terhadap umat IslamJusteru, wahai umat islam, lihatlahsendiri  dengan mata hati bagaimana suatuketika beratus-ratus nyawa umat Islam diragut oleh kumpulan zionis. Oleh yang demikian marilah kita ambil iktibar  sempena ulangtahun tragedi pembunuhan Deir Yassin supaya memperbaharui tekad dan keazaman untuk membela rakyat Ralestin dan berjuang berganding bahu untuk memerdekakan rakyat dan bumi Palestin yang dijajah.


Sesungguhnya, luka Deir yassin masih berdarah meski sudah berlalu 65 tahun. Satu-satunya jalan untuk menyembuhkan luka yang amat pedih yang ditanggung oleh rakyat Palestin ini ialah dengan berjuang untuk mengembalikan maruah saudara kita di Palestin.

Friday, 5 April 2013

Sejarah PLO dan Kaitannya Dengan Rancangan Barat

DIPOS OLEH Unknown PADA 09:51


Palestine Liberation Organisation atau PLO adalah lembaga politik rasmi bangsa arab Palestin yang telah mendapat pengakuan daripada seluruh dunia antarabangsa. Organisasi ini dibina berdasarkan penggabungan Fatah, organisasi mahasiswa, buruh dan guru. Selain itu, tujuan organisasi ini adalah untuk mengusahakan dan mempertahankan sebuah negara Palestin. Sejak ditubuhkan pada tahun 1969 hingga tahun 2004, organisasi ini diketuai oleh Yasser Arafat. Kemudian diambil alih oleh pemimpin Fatah, Mahmud Abbas sehingga kini.

PLO didirikan pada tahun 1964 setelah didahului oleh langkah awal Arafat untuk menyatukan semua organisasi perjuangan Palestin di bawah satu wadah iaitu Fatah pada tahun 1950. Pada waktu itu PLO dibawah pimpinan Arafat dan Fatah terus-menerus menyerang Israel.

Penggerak PLO

Penggerak utama organisasi ini ialah Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Sentral dan turut serta Dewan Palestin. Jawatankuasa Eksekutif dalam organisasi ini adalah satu badan yang memainkan peranan yang paling penting dalam mengambil keputusan berkaitan politik. Dalam membuat keputusan politik ini,mereka perlu untuk mendapatkan nasihat daripada organisasi perjuangan lain serta nasihat daripada tokoh-tokoh pembebasan Palestin. Dewan Nasional Palestin iaitu sebuah organisasi yang terdiri daripada  500 orang anggota juga merupakan anggota parlimen Palestin.

Agenda politik PLO

Seterusnya, agenda yang dilakukan oleh PLO untuk mencapai tujuan kemerdekaan Palestin ialah dengan menyebarkan perjuangan rakyat Palestin ke seluruh dunia, mengakui resolusi Dewan keamanan PBB, serta melakukan Intifadhah sejak tahun 1987. Pada 15 November 1988, sebuah langkah besar  telah dilakukan oleh PLO iaitu mengumumkan penubuhan negara Israel dari markaz besarnya iaitu di Aljazera. Bertitik tolak dari itu, PLO mula mendirikan pejabat kedutaannya di pelbagai negara Timur Tengah dan Indonesia.

Konspirasi di balik penubuhan PLO (Agenda Barat)


Harapkan pagar, pagar makan padi. Hakikat yang sukar untuk ditelan oleh penduduk Palestin ialah apabila terdapat agenda yang tersembunyi di sebalik penubuhan organisasi ini. Tanpa sedar ini semua adalah perancangan negara-negara barat, dengan tujuan sebagai langkah awal untuk menjual tanah Palestin kepada Barat.

Ringkasnya, setelah PLO banyak melakukan serangan-serangan terhadap Israel, banyak kumpulan yang menyertai PLO. Mulai awal 70 an, negara-negara lain mula mengiktiraf PLO sebagai wakil tunggal rakyat Palestin. Bahkan PBB pun telah mengiktiraf PLO. Di sini kita boleh lihat dengan jelas perancangan PLO yang telah memiliki wakil-wakil yang terdiri daripada pelbagai negara di dunia dan mereka juga mendapat banyak sumbangan kewangan daripada negara-negara lain sehingga menjadikan organisasi ini sebagai organisasi yang kaya dan kukuh.

Hal ini berterusan sehingga kepada sampai kepada satu tahap di mana PLO dengan beraninya mengambil keputusan untuk mengiktiraf Israel secara terbuka. Kemudian, negara-negara yang selama ini berpura-pura menentang yahudi dengan menyokong agenda PLO ini mula menunjukkan siapa mereka yang sebenarnya dengan mengiktiraf negara Israel. Malah, mantan Perdana Menteri Israel sendiri iaitu Yitzhak Rabin berkata bahawa PLO akan dapat mendiamkan ikhwan.

Sesungguhnya,kita telah jelas bahawa daripada perancangan barat yang terancang ini, mereka terus berusaha untuk memusnahkan Islam.Mereka telah merencanakan suatu perancangan yang sangat teliti. Justeru, apakah kita masih lagi buta terhadap perkara ini?

Ayuh sama-sama kita berdoa agar Allah membantu kita dalam usaha untuk menyelamatkan Palsetin dan agama Islam itu sendiri daripada kejahatan orang-orang kafir..

Wallahua’lam.

Wednesday, 3 April 2013

Memperingati 11 Tahun Penyembelihan Jenin

DIPOS OLEH Unknown PADA 10:15
10 HARI PENYEMBELIHAN JENIN | 3 April 2002 - 12 April 2002 

500 dan lebih dilaporkan syahid, dibakar, disembelih!

    Tiada ketenangan di sisi Israel tanpa melihat kehancuran total ummat Islam di Palestin. Sudahlah tanah mereka di rampas oleh rejim Zionist Israel pada tahun 1948, pada April 2002 pula kem pelarian mereka dihancur leburkan dengan kejamnya di Jenin. Begitulah perihalnya kebobrokan agenda Zionis ini untuk melunasi dendam kesumat mereka terhadap ummat Islam di Palestin.




    Menyingkap sejarah menyayat hati serangan di Jenin, masyarakat secara majoritinya mungkin tidak tahu kisah hitam dan perit ini, lantaran media antarabangsa bersekongkol menyembunyikan ketelusan laporan mereka serta mengatasnamakan peristiwa itu sekadar strategi Israel untuk “mempertahankan” diri mereka. 

Justeru bagaimana pula nasib pelarian?

    Kem Pelarian Jenin seramai 14000 orang yang diperintahkan dibawah perintah berkurung dan dibunuh dengan sadisnya tanpa dapat membela diri?

    Meski kita merasakan bahawa 10 hari itu suatu tempoh yang singkat, namun serangan selama 10 hari itu bermula dari 3 hingga 12 April 2002 merupakan malapetaka dahsyat yang telah berjaya meragut ratusan nyawa insan tidak berdosa. Bertambah malang apabila PBB seolah- oleh bersikap lepas tangan dan memejamkan mata atas kekejaman yang berlaku terhadap ummat Islam di Jenin.

   Pelbagai tragedi ngeri berlaku, pembunuhan secara beramai-ramai yang disaksikan oleh dunia tidak dapat dibela akibat sekatan bantuan serta pengepungan kawasan Jenin dijalankan selama lebih 13 hari selepas serangan.

   Maka hiduplah baki umat Palestin yang tertinggal di kawasan Jenin itu dalam keadaan seolah-olah menunggu mati! Tiada bantuan penyelamat dibenarkan sampai kepada mereka, sehingga dilaporkan mereka terpaksa menyelamatkan mangsa timbusan runtuhan bangunan dengan menggali tanah menggunakan tangan.

   Membaca sebuah laporan yang bertajuk “The Battle of Jenin”, oleh Jafree Centre of Strategic Studies,Tel Aviv, cukup menyakitkan hati bagi ummat Islam yang sensitif dengan pencabulan hak dan maruah ummat Islam di Jenin. Media Israel melaporkan bahawa mereka sekadar mempertahankan diri terhadap sekumpulan masyarakat di kawasan itu yang disyaki bergerak menentang Israel Zionis secara lantang. 




   Lantas mereka menghalalkan penimbusan kanak-kanak, wanita dan warga tua di kawasan itu tanpa mengemukakan bukti atau tanpa sebarang siasatan sahih. Begitu dayusnya Zionis dalam mempertahankan diri mereka?

   Pemuda beratur dan ditembak mengikut turutan, rumah berpenghuni dirobohkan, serbuan, pembunuhan rambang dari rumah ke rumah dilakukan serta penganiayaan yang tidak dapat di terima oleh norma manusia ini dilaksanakan atas nama “Operation Defensive Shield” di Jenin. 

   Media Barat melaporkan bahawa 56 orang lelaki bersenjata di Kem Jenin telah terbunuh, 2000 buah rumah dimusnahkan, 130 kilang pembuatan bom berjaya di musnahkan. Ironinya, kebenaran laporan itu tidak pun disahihkan, bahkan dunia sedar ianya sekadar sandiwara untuk menghalalkan niat pembunuhan kejam ini dilakukan.




   Soalan-soalan dalam sidang media antarabangsa tiada terjawab oleh Zionis Israel namun PBB masih mendiamkan diri tanpa tindakan tegas diambil atas isu pembantaian pelarian di Kem Jenin itu bahkan melaporkan bahawa bilangan yang syahid hanya seratus orang sahaja. Lebih parah, disalahkan pula pelarian Kem Jenin itu sebagai mempropagandakan isu “pembersihan” masyarakat di situ, seolah- olah ingin menarik simpati masyarakat dunia agar berpihak kepada rakyat Palestin.



    Penganiayaan terhadap masyarakat Palestin tidak berakhir pada Perang Jenin semata- mata, umum menyaksikan serangan demi serangan dilakukan saban tahun, hari demi hari di dada-dada akhbar melaporkan kesyahidan pejuang- pejuang di sana. 

    Hal ini membuktikan bahawa niat jahat Zionis Israel tidak akan terkubur sehinggalah kita berjaya memenangkan kembali tanah Palestin secara mutlak kepada rakyatnya. Justeru, peringatan untuk kita selaku ummat Islam agar menginsafi bahawa tidak akan menang pertempuran ini kecuali jiwa yang bercita- cita kepada syahid, pengorbanan harta, jiwa dan tenaga serta minda yang cakna isu- isu semasa ummat terutama di Palestin agar impian membebaskan Al Aqsa dapat direalisasi.

Mengenang Tragedi Jenin 2002 .

Sumber : Aman Palestin Mesir

Tuesday, 26 March 2013

HAMAS : Gerakan Pembebasan Baitul Maqdis

DIPOS OLEH Unknown PADA 12:38


Hamas adalah singkatan kepada Harakat al-Muqawama al-islamiyya, atau yang bermaksud Gerakan Pembela Islam. Ia ditubuhkan pada 14 Disember 1987 oleh As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin beserta beberapa orang yang meyakini manhaj dan pemikirannya.

Tujuan utama gerakan HAMAS adalah untuk mendirikan dan mempertahankan negara Palestin melalui jihad yang diikuti oleh seluruh kaum muslimin. Dalam manifesto gerakan, telah dijelaskan bahawa kemunculan Intifadhah adalah demi kemuliaan rakyat sebagaimana yang sering dilaungkan iaitu, “Demi mengembalikan hak-hak kami di negara kami dan meninggikan panji Allah di atas muka bumi”.





Sesungguhnya pada awal penubuhan, gerakan HAMAS ini telah diterajui oleh 7 orang tokoh daripada gerakan Ikhwanul Muslimin. Mereka mengadakan pertemuan di wilayah Gaza setelah kejadian 6 Disember 1987 yang kemudiannya mengambil keputusan untuk menubuhkan HAMAS.

Antara orang yang mempelopori gerakan HAMAS pada awal penubuhannya ialah Syeikh Ahmad Yassin, Dr.Ibrahim al-Bazuri, Muhammad Syam’ah (perwakilan kota Rafah), Abdul Fatah Dakhon (perwakilan Wilayah Tengah), Dr.Abdul aziz Rantisi (perwakilan Khan Yunus), Isa an-Nasyar (perwakilan kota Rafah) dan juga Shalah Syahadah (perwakilan wilayah utara).



Seperti yang diketahui, HAMAS telah mendapat sokongan yang sangat meluas daripada media massa. Perkara ini dapat dilihat apabila calon-calon mereka sering memenangi 1/3 kerusi daripada keseluruhan. HAMAS juga mendapat tempat di hati para pelajar dan ini dapat dibuktikan apabila gerakan ini mendapat ½ undi popular dalam pilihanraya pelajar seperti di Universiti Najah,Universiti Gaza, Universiti Khalil, Universiti Birzit dan Universiti al-Quds. Namun, Dr.Hisyam Syarobi yang berfahaman sekular dalam pertemuannya dengan wartawan telah mengatakan bahawa HAMAS adalah satu gerakan penentangan bentuk baru. Perjuangan mereka telah berjaya membuat satu perubahan besar kepada rakyat Palestin yang sebelum ini tidak pernah dicapai oleh puak PLO.

Pemahaman akidah HAMAS adalah bersandarkan kepada Al Quran dan sunnah nabi. Kemunculan HAMAS ditunjangi oleh pemikiran ikhwanul muslimin dan juga merupakan salah satu sayap dari gerakan ikhwan.

Pelbagai dugaan dan rintangan yang telah dilalui oleh gerakan jihad ini. Antaranya ialah mereka sering menerima tekanan dari luar seperti penangkapan Musa Abu Marzuq di Amerika Syarikat (Julai 1995 –Mei 1997), percubaan Khaled Meshal (ketua biro politik HAMAS), penutupan bilik gerakan mereka dan lain-lain lagi. Namun,semua ini tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk terus berjuang dan berjihad di jalan Allah kerana mereka mempunyai matlamat yang amat jelas dalam perjuangan mereka.




Sesungguhnya Allah telah memuliakan mereka dengan jihad. Allah juga telah meninggikan mereka dengan syahid di jalanNya serta menjanjikan mereka dua ganjaran terbesar iaitu nikmat kemenangan dan syurga. Justeru, adakah kita masih teragak-agak untuk terus menegakkan kalimah Allah sebagaimana yang dilakukan oleh pejuang HAMAS walaupun bukan dengan mengangkat senjata?

Wahai ikhwah akhowat sekalian, ingatlah hadis ini yang telah diriwayatkan dari Huzaifah, Rasulullah saw telah bersabda bahawasanya, ”Barangsiapa yang tidak mengambil berat dengan urusan umat islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya.”

Wallahua’lam.



Monday, 25 March 2013

Misteri Kisah Baitulmaqdis dan Haikal Sulaiman

DIPOS OLEH Unknown PADA 20:31

Baitulmaqdis merupakan sebuah kota yang terletak di dalam wilayah Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga paling suci bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah. Dalam kalangan masyarakat antarabangsa, kota ini lebih dikenali dengan nama Jerusalem yang bermaksud 'tempat yang aman untuk didiami'.

Catatan sejarah menunjukkan kota ini telah diduduki manusia selama sekitar 5,000 tahun sekaligus merupakan antara kota yang tertua di dunia dan masih dihuni sehingga sekarang. Kota ini merupakan tempat pertembungan antara tiga agama samawi iaitu Islam, Yahudi, dan Kristian bahkan setiap agama mempunyai kawasan masing-masing di sekitar kota lama yang mengelilingi sebuah tanah tinggi yang terkepung dengan tembok yang tinggi lagi kukuh.

Masyarakat dunia menamakan kawasan tanah tinggi ini sebagai 'Mount Temple' disebabkan sejarahnya yang pernah menempatkan kuil Yahudi kuno iaitu dipanggil juga sebagai Haikal Sulaiman sebelum ia dimusnahkan, dibina semula dan sekali lagi dimusnahkan selepas kota ini dijajah oleh kerajaan-kerajaan yang berbeza.

Mengikut catatan sejarah, umat Islam pada era awal Islam dahulu menggelarkan kawasan di mana terletaknya 'Mount Temple' sebagai Madinah Baitulmaqdis yang membawa erti 'City of the Temple' yang mengambilkira akan kewujudan Haikal Nabi Sulaiman A.S yang menjadi tempat ibadat pertama kaum Yahudi sebelum dimusnahkan oleh orang Babylon pada tahun 586 sebelum Masihi.


Gambaran Haikal Sulaiman


Selepas kemusnahan pertama itu, Haikal ini dibina semula kira-kira selepas 70 tahun kemusnahan pertamanya apabila orang Babylon berjaya diusir, namun ia diruntuhkan kembali pada tahun 70 Masihi oleh Empayar Roman. Manakala kawasan kota yang wujud di sekeliling 'Mount Temple' ini dipanggil Iliya, berasal daripada nama 'Aelia Capitolina' yang diberikan semasa penjajahan orang Roman. Kawasan 'Mount Temple' pada asalnya agak tinggi dengan keadaan yang tidak rata tetapi pada tahun 19 sebelum Masihi, pemerintah ketika itu iaitu Herod the Great telah membina tembok tinggi mengelilingi kawasan ini lalu meratakan permukaannya di dalam kawasan tembok sepertimana keadaan sekarang.

Selepas pengislaman Kota Baitulmaqdis yang bermula ketika zaman khalifah Umar al-Khattab, nama 'Mount Temple' telah ditukarkan kepada Haram al-Sharif yang menggambarkan kedudukan kawasan suci ini yang mendapat tempat yang mulia di dalam Islam sementara kota disekitarnya inilah dinamakan Baitulmaqdis.

Pada Zaman Khalifah Sulaiman iaitu salah seorang khalifah di dalam era Turki Uthmaniyyah, beliau telah membina semula dinding seakan-akan sebuah tembok di sekeliling kota Baitulmaqdis. Sekarang ini Baitulmaqdis yang asal dirujuk sebagai kota lama Baitulmaqdis iaitu kawasan yang dikepungi tembok tadi. Di kota inilah terletaknya Masjid al-Aqsa yang telah disebut di dalam kitab suci al-Quran dan al-Hadis yang mana beribadat di dalamnya mendapat seribu ganda pahala berbanding di tempat-tempat lain.

Masjid al-Aqsa di dalam bahasa Arab bermaksud 'masjid yang jauh', merujuk pada jaraknya yang berjauhan daripada bumi Mekah yang menempatkan Masjid al-Haram. Di sini juga menjadi tapak kepada salah satu peristiwa terpenting di dalam Islam iaitu Isra' dan Mikraj yang mana ketika itu, Nabi Muhammad S.A.W telah dinaikkan ke langit untuk menghadap Allah S.W.T. Baitulmaqdis juga menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah ke Mekah, iaitu kira-kira selama enam belas bulan. Kedua-dua peristiwa besar Islam ini iaitu pembinaan Masjid al-Aqsa dan peristiwa Isra' Mikraj ini berlaku di atas tapak Haram al-Sharif.

Selain itu, Masjid Kubah Batu turut dibina berdekatan dengan Masjid al-Aqsa dan telah dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik semasa era Bani Umayyah. Diriwayatkan senibina masjid ini yang begitu indah dengan kubah berwarna keemasannya yang menonjol adalah untuk menyaingi kehebatan senibina gereja-gereja di sekitar Baitulmaqdis yang menjadi tumpuan ramai pelawat. Kini Masjid Kubah Batu menjadi antara monumen tertua orang Islam yang sangat dikenali.

Masjid ini mendapat namanya berikutan dipercayai didirikan di atas tapak batu terapung yang terjadi ketika peristiwa Isra' dan Mikraj. Ironinya batu ini juga dianggap suci oleh penganut Yahudi disebabkan kepercayaan bahawa ia merupakan pusat bagi 'Mount Temple' dan dianggap sebagai asas untuk pembinaan kuil mereka satu masa nanti.

Tetapi menurut catatan sejarah ketika Khalifah Umar al-Khattab r.a yang bertanggungjawab menjadikan Baitulmaqdis sebagai salah sebuah wilayah Islam, setibanya di kota ini beliau lalu bertanyakan mengenai batu yang menjadi tempatnya Baginda Rasul dinaikkan ke langit, lalu ditunjukkan oleh penduduk kota pada sebuah batu terbiar di atas tanah tinggi yang dikepungi oleh tembok. Lebih malang apabila kaum Yahudi mengotorkan kawasan itu dengan najis dan sampah sarap sebagai tanda penghinaan kepada lokasi peristiwa Isra' Mikraj itu. Khalifah Umar membersihkan kawasan itu bersama-sama dengan orang Mukmin yang lain dan membina Masjid al-Aqsa buat kali pertamanya di bumi Baitulmaqdis itu

Masyarakat Yahudi menganggap Haikal ketiga dan sepatutnya menjadi yang terakhir seharusnya dibangunkan di atas lokasi yang sama iaitu Haram al-Sharif bahkan perkara yang sama turut dicatatkan di dalam kitab Injil. Perebutan tapak suci inilah yang menjadi teras konflik antara Islam dan Yahudi selanjutnya menjadikan kawasan suci ini sebagai tempat krisis yang masih belum selesai sehingga sekarang.

Salah satu tembok yang mengelilingi Haram al-Sharif ini, iaitu tembok di bahagian barat ataupun 'Western Wall' ini menjadi tempat suci bagi penganut Yahudi. Tembok yang dibina lebih daripada 2,000 tahun yang lampau ini merupakan satu-satunya bahagian Haikal kedua mereka yang masih wujud. Mereka menganggap Tuhan mereka berada di sebalik tembok itu dan pandangan mereka terhalang disebabkan dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Oleh kerana itu lokasi ini menjadi tempat mereka beribadat dan meratap di atas dosa-dosa yang mereka lakukan dan amalan ini masalah berlangsung sehingga sekarang ini, susulan dengan itu kadang-kadang tembok ini juga dirujuk sebagai 'Wailing Wall' ataupun tembok ratapan.

Mengikut agama Kristian pula, Baitulmaqdis juga mendapat kedudukan yang mulia dan dianggap sebagai tanah suci mereka. Nabi Isa A.S yang dilahirkan di Baitullaham iaitu sebuah bandar yang berhampiran dengan Baitulmaqdis terus dibawa ke Baitulmaqdis sebaik sahaja dilahirkan. Semasa remajanya, penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa A.S pernah berkhidmat untuk mencuci Haikal kedua yang pada ketika itu masih tertegak utuh di Baitulmaqdis. Selain itu juga, peristiwa penyaliban dipercayai berlaku di dalam kawasan Baitulmaqdis tetapi lokasi yang tepat masih lagi menjadi pertikaian sarjana-sarjana Kristian.

Pendapat yang paling diterima ramai adalah peristiwa itu berlaku pada tapak di mana tertegaknya sebuah gereja yang dianggap paling suci oleh penganut Kristian iaitu Gereja 'Holy Sepulchre', salah sebuah gereja di dalam kawasan kota lama. Di sini juga dianggap sebagai lokasi orang yang mereka percayai sebagai Nabi Isa A.S dimakamkan. Kota Baitulmaqdis sehingga kini masih menerima pengunjung Kristian yang ramai dari seluruh dunia terutamanya menjelang musim Easter.

Perang Salib yang berlaku pada 1099 Masihi juga menunjukkan keazaman penganut Kristian untuk menawan tanah suci ini daripada penguasaan orang Islam dan mereka telah berjaya menduduki kota ini selama kira-kira 200 tahun sehinggahlah kota ini dibebaskan oleh panglima Islam yang unggul iaitu Salahuddin al-Ayubbi pada tahun 1187 Masihi. Diriwayatkan bahawa ketika tentera salib dihalau sepenuhnya dari kota, Salahuddin al-Ayubbi sendiri yang membersihkan Masjid al-Aqsa yang dijadikan kandang kuda oleh tentera salib, manakala Masjid Kubah Batu yang dijadikan sebagai gereja dikembalikan fungsinya sebagai sebuah masjid.

Penguasaan orang Islam berterusan sehinggalah ke akhir zaman Khalifah Uthmaniyyah yang menyaksikan Baitulmaqdis dikuasai oleh British sehinggalah mandat penguasaan itu tamat. Kewujudan negara Israel pada tahun 1948 menyaksikan peperangan antara Arab dan Yahudi berlaku untuk menguasai wilayah Palestin yang ketika itu dibahagikan secara berat sebelah oleh badan dunia PBB.

Penduduk Arab yang mewakili dua pertiga diperuntukkan hanya sepertiga kawasan sementara sepertiga Yahudi mendapat selebihnya tanah Palestin. Ketika itu PBB mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai wilayah antarabangsa tetapi pertempuran tentera Israel dan Arab menyebabkan bahagian barat kota jatuh ke tangan Yahudi dan diisytiharkan sebagai ibu kota negara Israel tetapi tidak diiktiraf oleh dunia.

Bahagian timur Baitulmaqdis dikuasai oleh negara Jordan, termasuklah kawasan kota lama Baitulmaqdis ini. Sehingga waktu ini, Haram al-Sharif merangkumi keluasan hampir seperlima daripada keluasan kota lama Baitulmaqdis masih dikuasai oleh orang Islam.

Kota lama Baitulmaqdis terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian pertama adalah bahagian orang Islam iaitu bahagian yang terbesar antara kesemua bahagian, Kompleks Haram al-Sharif adalah sebahagian daripada kawasan orang Islam. Bahagian kedua adalah bahagian Yahudi dan selebihnya merupakan bahagian Kristian dan bahagian Kristian Armenia, iaitu bahagian yang paling kecil antara semua. Walaupun Orang Armenia juga merupakan penganut Kristian, tetapi mereka mendapat kawasan mereka sendiri di dalam kota dan bilangan mereka juga hanya kecil jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain. Ketika Jordan menguasai kota lama, penganut Yahudi tidak dibenarkan beribadat di sekitar 'Western Wall' ataupun tembok ratapan itu dan kebanyakan tempat ibadat Yahudi ditutup dan sebahagian bahagian orang Yahudi di kota lama turut menempatkan penduduk Arab yang menjadi pelarian akibat wilayah mereka dirampas oleh Israel.

Tetapi perang pada tahun 1967 merubah lanskap kota ini sampai sekarang. Penglibatan Jordan di dalam perang negara-negara Arab dengan Israel menyebabkan bahagian timur kota ini jatuh ke tangan Yahudi, lebih teruk apabila wilayah Palestin yang selebihnya turut jatuh bersama sehinggalah ke Tebing Barat Sungai Jordan. Mesir pula kehilangan Semenanjung Sinai dan Genting Gaza sementara Syria terlepas Tanah Tinggi Golan.

Bermulanya kejatuhan Baitulmaqdis ini menyaksikan banyak pencabulan dilakukan oleh bangsa Yahudi ke atas Baitulmaqdis. Antaranya menjadikan kawasan 'Western Wall' sebagai tapak ibadat mereka selain pembinaan penempatan haram Yahudi yang mengelilingi kejiranan Arab di dalam usaha memastikan kota ini didominasi secara penuh oleh Yahudi. Penempatan masyarakat Yahudi turut dibina di dalam bahagian orang Islam.

Rumah-rumah penduduk Palestin dirampas dan digantikan dengan perumahan Yahudi. Lebih teruk lagi apabila kerajaan Israel meluluskan akta yang menggabungkan timur dan barat Baitulmaqdis sebagai satu kota dan menjadi ibu kota Israel yang rasmi menggantikan Tel Aviv yang sebelum ini menempatkan kedutaan-kedutaan asing. Pejabat Presiden dan Perdana Menteri, kediaman Presiden dan Perdana Menteri, bangunan Parlimen, Mahkamah Agung dan kementerian-kementerian Israel semuanya dipindahkan ke Baitulmaqdis secara beransur-ansur.

Masjid al-Aqsa juga beberapa kali telah dicabuli termasuklah dibakar oleh fanatik Yahudi sehingga membawa kemusnahan mimbarnya. Paling diingati adalah peristiwa yang berlaku pada tahun 2000, lawatan penuh provokasi Perdana Menteri Israel ketika itu iaitu Ariel Sharon ke kompleks Haram al-Sharif. Untuk rekod, Ariel Sharon terlantar koma akibat serangan strok semasa masih bertugas sebagai Perdana Menteri pada tahun 2006 dan masih tidak sedarkan diri.

Perlu diingatkan bahawa walaupun Israel menguasai kota ini secara total namun pengawalan kompleks Haram al-Sharif diberikan kepada badan Islam sebagai kawasan wakaf dan juga Raja Jordan dianggap sebagai penjaga Masjid al-Aqsa. Bendera negara Israel juga tidak dibenarkan dikibarkan di sekitar Haram al-Sharif. Penganut agama lain juga dilarang memasuki kompleks suci ini dan askar-askar serta polis Israel berkawal di pintu masuk dan pengunjung mesti membuktikan mereka ini adalah Islam sebelum memasuki kompleks untuk beribadat. Langkah ini diambil bagi mengelakkan terjadinya pertikaian seterusnya membawa kepada pertumpahan darah memandangkan lokasi ini amat sensitif bagi semua penganut agama samawi.

Namun sampai bilakah langkah ini berterusan menjadi tanda tanya memandangkan sikap kerajaan zionis Israel sendiri yang suka melakukan provokasi ke atas penduduk Palestin dan pengyahudian Baitulmaqdis bukan lagi sesuatu agenda yang rahsia.

Hari ini, Kota Baitulmaqdis masih berada di bawah kekuasaan bangsa Yahudi yang menyimpan impian untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa yang mahu digantikan dengan Haikal ketiga mereka yang dipercayai menjadi Haikal terakhir mereka, malahan mereka bertungkus lumus melakukan aktiviti carigali di sekitar kompleks Haram al-Sharif untuk menguatkan dakwaan pemilikan mereka ke atas kawasan suci itu sebelum terbinanya masjid-masjid di atasnya.



Mengikut berita yang tersebar luas, mereka melakukan penggalian di bawah tapak masjid sehingga meletakkan Masjid al-Aqsa dan Masjid Kubah Batu di dalam risiko keruntuhan akibat aktiviti yang kononnya berlandaskan kerja-kerja arkeologi itu. Kaum Yahudi kelihatan begitu teruja untuk merealisasikan pembinaan Haikal Sulaiman mereka itu, bagi mereka pembinaan itu adalah sesuatu yang menjadi tuntutan agama mereka dan perlu dilaksanakan, yang menjadi persoalan hanyalah bila Haikal Sulaiman itu akan dibangunkan?

Artikel iluvislam.com

AL-AQSA KEPRIHATINAN BERSAMA