Tuesday, 20 August 2013


      

        Masihkah kita ingat tentang tragedi hitam yang  pernah dilakukan ke atas Masjid Al-Aqsa suatu ketika dahulu? Ya. Tarikh 21 Ogos adalah tarikh keramat buat umat islam seluruh dunia kerana ia adalah peristiwa pencabulan ke atas masjid Al-Aqsa. Genap 44 tahun peristiwa ini berlaku. Ia bagaikan suatu penghinaan kepada umat Islam oleh Zionis Israel yang sudah bertahun-tahun lamanya menyimpan dendam terhadap umat Islam. Tragedi ini berlaku seusai umat Islam menyempurnakan solat subuh di Masjid Aqsa. Setelah menyedari kebakaran tersebut, pihak muslimin serta merta mendapatkan air dari perigi-perigi berdekatan masjid untuk memadamkan kebakaran tersebut. Malangnya, api yang marak menyebabkan sebahagian masjid telah terbakar.
Siapakah dalang di sebalik pembakaran Masjid Aqsa?


         Michael Dennis Rohan, seorang doktor perubatan yang berasal daripada Australia adalah orang yang bertanggungjawab di dalam peristiwa pembakaran Masjid Al-Aqsa. Dia adalah seorang ekstremis yahudi yang sangat membenci Islam. Persoalannya, adakah dia bertindak melakukan perbuatan terkutuk itu bersendirian? Jawapannya sudah tentu tidak. Dia telah dibantu oleh golongan kristian Zionis. Buktinya jelas dilihat tatkala mereka telah merancang pembakaran tersebut lebih awal lagi dengan menutup seluruh saluran paip air yang menuju ke Masjid Al-Aqsa. Tidak cukup dengan itu, pihak polis yang mengawal di sekitar Masjid Aqsa itu turut menghalang pasukan bomba dan warga Arab daripada memasuki kawasan masjid tersebut.
        Di sebalik kejadian pembakaran masjid ini, ada beberapa tujuan dan matlamat Yahudi yang mesti diketahui oleh umat Islam. Perbuatan jahat Yahudi ini dilaksanakan untuk memudahkan mereka meneruskan projek membina kuil Yahudi yang dikenali sebagai ‘Solomon Temple’ atau Haikal Sulaiman di dataran Baitul Maqdis. Di samping itu, Michael juga menyatakan bahawa dia tidak pernah menyesal dan berbangga atas perbuatannya itu kerana mendakwa bahawa dirinya telah diutus oleh Allah  untuk membakar masjid itu seperti yang dituntut oleh Yahudi dalam kitab Talmud.
        Ekoran daripada pembakaran tersebut, ia telah meninggalkan kesan yang sangat teruk terhadap Masjid Al-Aqsa. Kejadian tersebut telah menyebabkan kira-kira ¼ daripada kawasan masjid Al-Aqsa musnah dijilat api. Perbuatan jahat Yahudi ini juga telah menyebabkan tiga kawasan utama Masjid Al-Aqsa yang bersejarah iaitu Masjid Umar, Mimbar Salahuddin Al-Ayyubi dan Mihrab Zakaria telah musnah. Bukan itu sahaja, kebanyakan tingkap masjid hangus dijilat api serta perhiasan-perhiasan ayat al-Quran di dinding yang indah turut terbakar.

    
        Sandiwara Yahudi terus terserlah tatkala Mahkamah Israel mengadili kes pembakaran masjid ini. Perkara ini dilihat apabila penjenayah tersebut iaitu Michael, yang pada awalnya ditangkap telah dilepaskan semula oleh Mahkamah tersebut kerana kononnya dia didakwa mengalami masalah mental. Michael akhirnya hanya dikenakan tindakan arahan supaya  pulang ke negara asalnya iaitu Australia tanpa berhadapan dengan sebarang hukuman.
        Kesan daripada peristiwa tersebut, umat Islam seluruh dunia bangkit menyatakan kemarahan mereka dan melakukan protes bantahan terhadap pencabulan Masjid Al- Aqsa.Oleh yang demikian, atas desakan dari umat Islam, pihak PBB telah mengambil inisiatif dengan mengadakan sidang tergempar dan mengeluarkan Resolusi 271 yang mengutuk perbuatan jahat Israel serta menyeru kepada puak Zionis agar memberhentikan usaha mereka untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa. Selain itu juga, satu pertubuhan iaitu pertubuhan OIC yang dianggotai oleh 57 buah negara  telah ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin negara Islam untuk mencegah segala usaha jahat Yahudi terhadap Masjid Al Aqsa. Pihak OIC juga telah menjadikan isu Palestin ini sebagai isu utama umat Islam seluruh dunia dan semenjak daripada peristiwa ini, 21 Ogos 1969 telah diangkat sebagai Hari Memperingati Al-Quds sedunia.
         Hari ini genap 44 tahun peristiwa itu berlalu. Demikianlah kita melihat betapa liciknya perancangan Yahudi dalam usaha memusnahkan masjid ketiga suci umat Islam, Masjid Al-Aqsa. Fikirkanlah sekiranya ekstremis Yahudi ini meyakini bahawa kerja-kerja jenayah itu adalah perintah tuhan mereka, maka adakah umat Islam itu sendiri tidak menganggap tanggungjawab mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa adalah satu tuntutan agama dan tanda seseorang beriman kepada Allah? Ayuh sama-sama kita muhasabah di mana posisi kita di dalam menangani masalah umat sejagat ini. Semoga umat Islam sedar daripada lamunan mimpi yang panjang dan terus bangkit  dalam mempertahankan Al-Aqsa.

Friday, 21 June 2013

Kenali Syeikh Izzuddin Al-Qassam

DIPOS OLEH Unknown PADA 09:05


As-Syahid Syeikh Izzuddin Al-Qassam

Untuk pengetahuan anda, Briged Al-Qassam diberi nama sempena dengan nama beliau. Nama penuh beliau ialah Muhammad Izzuddin Abdul Qadir Al-Qassam. Dilahirkan di Jibillah, Syria pada tahun 1882. Beliau merupakan seorang ulama' yang terkenal pada zaman itu.

Semasa penjajahan Perancis ke atas Syria, beliau telah menjual rumahnya untuk membeli 34 pucuk senjata bagi menentang penjajahan tersebut. Di bawah revolusi pimpinan Ibrahim Hanano, beliau dikhianati dan dijatuhkan hukuman mati oleh pihak Perancis. Beliau mempunyai dua pilihan, sama ada dihukum bunuh atau tunduk kepada Perancis.

Akhirnya, Syeikh Izzuddin Al-Qassam membuat keputusan untuk berhijrah ke Palestin kerana beliau amat memahami rancangan jahat Yahudi yang dibuat oleh Organisasi Zionis Antarabangsa di Basel, Switzerland pada 29 hingga 31 Ogos tahun 1897. Selama tujuh tahun beliau melakukan pelbagai usaha termasuklah dengan mendekati masyarakat Palestin, menjadi guru, pembimbing rohani dan ketua pergerakan. Beliau mendapat tempat di hati penduduk Palestin.

Pada tanggal 20 November 1935, beliau menemui syahid dalam pertempuran mempertahankan Palestin. Senaskhah Al-Quran terselit kemas di poket baju tentera yang dipakainya. Nama syeikh Izzuddin diabadikan oleh HAMAS dengan menamakan sayap ketenteraannya serta senjata dan benderanya.

Syeikh Izzuddin Al-Qassam telah meninggalkan kita, namun semangatnya tidak pernah hilang dan terus segar dalam jiwa pemuda-pemuda pejuang Palestin! 

Siapakah Briged Izzuddin Al-Qassam?

DIPOS OLEH Unknown PADA 08:56


Briged Al-Qassam merupakan barisan ketenteraan HAMAS yang terdiri daripada pemuda-pemuda yang berumur antara 18 hingga 30 tahun, barisan yang mempertahankan Palestin daripada penjajahan tentera zionis. Briged Al-Qassam diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin, Dr Ibrahim al-Maqadema dan Sheikh Salah Shehada pada tahun 1984. 

Antara syarat-syarat yang melayakkan pemuda-pemuda ini untuk menganggotai Briged Al-Qassam adalah seperti berikut:

1. Menjaga solat 5 waktu secara berjemaah.
2. Gigih berpegang dengan ajaran Islam.
3. Kuat mengamalkan sunnah Rasulullah saw.
4. Mengimani perjuangan pembebasan al-Aqsa dan Palestin.
5. Berdisiplin dan mentaati kepimpinan.
6. Mencintai dan bersedia syahid.

Pemuda-pemuda Al-Qassam akan melakukan sujud syukur setiap kali selepas tamat pertempuran melawan tentera zionis. Mereka ialah pejuang-pejuang yang merindui syahid di jalanNya, mempunyai peribadi yang mulia dan menjadikan Al-Quran sebagai teman sepanjang masa. 

Sebagaimana Kontantinopel berjaya dibebaskan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh dan tentera-tenteranya seperti yang telah tercatat dalam hadis nabi. Sabda Rasulullah S.A.W. ketika menggali Parit Khandaq, maksudnya: “Konstantinopel (Instanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (Hadis riwayat Imam Ahmad). 

Begitu juga Palestin, tanah suci ini bakal dibebaskan oleh pemuda-pemuda yang hebat!



Friday, 31 May 2013

31 Mei 2010 : Tragedi Kapal Mavi Marmara

DIPOS OLEH Unknown PADA 01:02

Sebuah kapal besar, Mavi Marmara milik Turki belayar merentasi Laut Marmara menuju ke Gaza dalam usaha untuk memberikan barangan bantuan kepada mangsa kekejaman Zionis. Kapal Mavi Marmara berlepas dari pelabuhan di Istanbul menuju ke Selatan Turki untuk mengambil penumpang di Pelabuhan Antalya, sebelum meneruskan pelayaran ke Gaza. Terdapat lapan buah kapal lain yang terdiri daripada beberapa negara turut mengiringi Mavi Marmara menuju ke perairan Mediterranean. Namun, hanya enam buah kapal yang dapat menyambung pelayaran disebabkan kerosakan yang berlaku pada kapal tersebut.

Suasana ketika Mavi Marmara mula bertolak dari Istanbul

Rombongan ini turut disertai oleh beberapa orang relawan dari Malaysia yang bergabung dengan ratusan aktivis lain dari seluruh dunia. Sheikh Raed Solah, pejuang Palestin juga turut berada dalam rombongan ini. Peluang ini digunakan sebaik mungkin oleh relawan Malaysia dan Indonesia bagi mendapatkan pengalaman dan ilmu daripada beliau.

Menjelang subuh pada 31 Mei 2010, anak-anak kapal dikejutkan dengan kemunculan puluhan bot-bot kecil dan helikopter yang cuba menceroboh Mavi Marmara. Bot-bot yang dinaiki oleh tentera Zionis ini cuba untuk menaiki Mavi Marmara namun gagal sehinggalah sebuah helikopter milik mereka berjaya menurunkan beberapa orang komando. Beberapa tembakan dilepaskan dari helikopter ke arah para aktivis di atas kapal. Para aktivis yang langsung tidak mempunyai kelengkapan senjata, menggunakan apa sahaja yang ada termasuklah pemancut air dalam usaha mempertahankan diri. Mereka diarahkan supaya tidak melawan apabila berlaku banyak kecederaan dan pembunuhan. Aktivis yang cedera, berusaha diselamatkan oleh doktor yang bersama-sama dalam rombongan ini dalam keadaan kekurangan alatan perubatan.

Menjelang pagi, bot-bot Zionis sekali lagi mengepung Mavi Marmara, mengarahkan supaya pelayaran tidak diteruskan dan berlabuh di Ashdod, Israel. Para aktivis kemudiannya dipenjarakan di Beer Sheba. Sembilan orang aktivis Turki syahid dan lima puluh enam aktivis lain telah tercedera dalam tragedi tersebut.

Tiga tahun telah berlalu, detik ini memberi sejarah hitam kepada umat Islam dalam usaha untuk membuka mata dunia mengenai kekejaman yang dilakukan oleh Zionis terhadap umat Islam di Palestin.

Di sini disertakan pautan berserta dengan video dan gambar-gambar yang menceritakan saat getir kejadian tersebut :






Tuesday, 21 May 2013

Nasib Bangsa Penyelamat Al-Quds

DIPOS OLEH Unknown PADA 23:37


Kenalkah anda dengan bangsa Kurdish?

Kurdish merupakan satu bangsa penduduk asli satu wilayah yang sering dirujuk sebagai Kurdistan, iaitu satu wilayah yang meliputi sebahagian Iran, Iraq, Syria, dan Turki. 

Bangsa Kurdish adalah bangsa Salahuddin Al-Ayubi dan tenteranya, yang mana telah membebaskan Al-Quds dari perang Salib, walaupun mereka bukan Arab tetapi mereka telah berjaya membuktikan kekuatan mereka membela nasib umat Islam, walaupun tanah Al-Quds yang dijajah itu bukannya terdiri dari kaum kerabat mereka yang sebangsa, tetapi atas dasar aqidah mereka bangkit melawan.

Selepas berakhirnya era Khilafah Uthmaniyah bangsa Kurdish dipecahkan oleh British menjadi puak-puak minoriti di pelbagai negara seperti Iraq, Turki, Iran, Syria, Azerbaijan, Lubnan dan beberapa negara Eropah. Semuanya kerana satu sebab, takut akan lahirnya Salahuddin Al-Ayubi yang baru!

Bangsa yang berpotensi menegakkan Islam akan dipecah belahkan oleh musuh, lihatlah musuh Islam sendiri tahu peranan satu bangsa yang kuat akan mampu menjadi pendokong Islam yang kuat, dan perkara paling menggembirakan mereka adalah perpecahan bangsa yang mendokong Islam seperti mana mereka telah lakukan pada bangsa Kurdish. Bangsa yang MEMBEBASKAN Bumi Al-Quds!


Saturday, 18 May 2013

Kunjungan Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi ke Gaza

DIPOS OLEH Unknown PADA 17:10


Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi telah melakukan lawatan ke Gaza selama dua hari pada 8 dan 9 Mei 2013. Kedatangan beliau yang dijemput oleh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh telah mendapat sambutan meriah daripada penduduk Gaza.

Dalam ucapan ketika majlis keraikan ketibaannya, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi  telah mengingatkan penduduk Palestin agar sentiasa mengingati janji perjuangan ini bersama iaitu membebaskan tanah Gaza dan Palestin kesemuanya dan diwariskan semangat ini kepada generasi baru bumi Al-Quds.


Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi telah melakukan beberapa siri lawatan sekeliling Gaza antaranya Universiti Islam Gaza, beliau telah dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat oleh universiti tersebut. Kerajaan Palestin juga telah berbesar hati memberikan kerakyatan dan warganegara Palestin kepada beliau.

Suatu majlis sambutan besar-besaran telah dibuat di bandar Gaza pada 9 Mei sempena kedatangan beliau. Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi menyeru kepada kesepakatan umat Islam dalam memperjuangkan isu Palestin dan menegaskan bahawa umat Islam tidak seharusnya menerima sebarang tawaran yang akan memisahkan mereka dari perjuangan ini dan sentiasa melakukan jihad sehingga Palestin dibebaskan.

Beliau telah berangkat pulang pada petang 9 Mei 2013 melalui pintu Rafah.




AL-AQSA KEPRIHATINAN BERSAMA